Kuala Lumpur: Peruntukan sehingga RM10,000 akan diberi kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kerajaan mendidik rakyat mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, dana itu akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan dan NGO berkenaan perlu membuat permohonan sebelum 1 April ini.

“NGO itu perlulah memohon terlebih dahulu kepada kementerian untuk mengadakan sesi ini dan jika perlu, saya sendiri akan turun padang,” katanya selepas sesi taklimat GST kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), semalam.

Ahmad berkata, dana itu adalah lebihan daripada peruntukan yang diberi kerajaan. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah berkenaan.

Selain itu, mengulas senarai ubat-ubatan yang dikenakan GST, beliau berkata, kerajaan masih lagi meneliti jenis ubat yang tertakluk kepada cukai itu.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 2,900 ubat-ubatan yang wajib ada di hospital kerajaan dan swasta dikecualikan GST.

“Kerajaan masih belum memuktamadkan senarai ubat-ubatan ini dan akan mengkaji senarai itu daripada semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Penaung Persatuan Kesihatan (L) Pink Ribbon, Puan Sri Maniseh Adam menyarankan kerajaan supaya mempertimbangkan pengecualian GST ke atas semua ubat-ubatan di negara ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:09 AM