ANTARA barang kes yang dirampas serta jaket polis yang terkena tembakan. FOTO Farhan Najib
OSMAN (dua kiri) menunjukkan kesan tembakan pada jaket keselamatan polis. FOTO Farhan Najib
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Polis Perak menembak mati dua suspek berusia 42 dan 62 tahun di Ayer Kuning, Tapah, 5 pagi tadi selepas dipercayai terbabit dalam kes samun dan tembak pegawai bank serta rakannya yang juga ejen insurans di Taman Soong Choon di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 8.20 malam Jumaat lalu itu, pegawai bank berusia 26 tahun cedera di bahagian belakang badan manakala rakannya berusia 35 tahun cedera di paha kiri selepas terkena tembakan dilepaskan tiga penjenayah bersenjatakan pistol.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua suspek itu berjaya dikesan berdasarkan maklumat diperoleh daripada dua suspek yang ditahan sebelum ini selepas turut dipercayai terbabit dalam kes itu.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang menaiki kereta itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan itu sebelum mereka berjaya ditumpaskan.

"Pemerikaaan ke atas suspek menemui sepucuk pistol dan berdasarkan semakan mendapat kenderaan digunakan suspek dilaporkan hilang pada 29 September tahun lalu di Pulau Pinang.

"Kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau di mana seorang daripada suspek dikehendaki dalam kes bunuh di Petaling Jaya, Selangor," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 1:24 PM