Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Polis Perak bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran serta memproses dadah di Ipoh dengan menahan lapan lelaki serta merampas kira-kira lapan kilogram dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM420,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, dalam serbuan bermula 3 petang itu, kesemua suspek berusia 26 tahun hingga 49 tahun itu ditahan dalam lima serbuan di Pasir Puteh, Tambun, Lahat, Ulu Kinta dan Simpang Pulai berdasarkan maklumat dan risikan.

Katanya, selain itu pihak STING turut berjaya merampas dadah jenis heroin seberat tujuh kilogram serta syabu seberat 1.275 kilogram daripada suspek yang ditahan dalam serbuan terbabit.

"Kita turut menyita enam buah kenderaan pelbagai jenis seperti BMW, Proton Perdana, Perodua Alza, Toyota Avanza, Proton Waja dan Toyota Wish bernilai RM500,000 serta wang tunai berjumlah RM25,940.

"Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kesemua kenderaan yang dirampas disita mengikut Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 11:45 AM