Manila: Aktivis Filipina yang berang dengan kejadian di Mamasapano 25 Januari lalu merancang mengadakan protes besar-besaran bagi menggesa Presiden Benigno Aquino III bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian itu.

Tunjuk perasaan itu akan diadakan Selasa ini sempena ulang tahun ke-29 pemberontakan Edsa yang menjatuhkan presiden Ferdinand Marcos dan membolehkan ibu Aquino, Corazon, menjadi presiden.

“Ia bukan rancangan merampas kuasa atau pemberontakan bersenjata. Ia ‘Kuasa Rakyat’,” kata jurucakap penganjur, Teddy Casiño.

Perhimpunan berkenaan dirancang oleh gabungan pelbagai kumpulan militan, gereja, belia, artis serta masyarakat awam yang marah terhadap pertempuran berdarah antara pasukan komando polis dengan militan Islam hingga menyebabkan 44 anggota polis terbunuh.

Menurut Teddy, desas-desus mengenai rampasan kuasa hanya alasan yang dicipta oleh sekutu Aquino kerana mahu mengagalkan protes orang ramai.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, aktivis menuntut keadilan ke atas 44 anggota komando polis, 18 pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) serta enam orang awam yang terbunuh dalam operasi rahsia untuk menangkap dua militan antarabangsa, termasuk warga Malaysia Zulkifli bin Hir atau Marwan, yang terbunuh dalam pertempuran itu.

Menurut aktivis, kejadian itu mengancam proses damai dengan MILF dan menjejaskan usaha meluluskan Undang-Undang Asas Bangsamoro.

Pelajar di Metro Manila dan bahagian lain di negara ini turut merancang memulaukan kampus minggu ini bagi menunjukkan rasa kesal berhubung insiden Mamasapano itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:36 AM