KANE (kiri) dijatuhkan Song.

London: Bintang Tottenham Hotspur Harry Kane meledak jaringan pada minit keenam masa kecederaan, sekali gus melengkapkan kebangkitan selain menyelamatkan pasukannya ketika seri 2-2 menentang West Ham United di White Hart Lane, malam tadi.

West Ham mendahului 2-0 menerusi jaringan setiap babak melalui Cheikhou Kouyate dan Diafra Sakho, tetapi kehebatan penjaga gawang Spurs Hugo Lloris berjaya mengelak lawan daripada menambah kelebihan.

Danny Rose merapatkan kedudukan pada minit ke-80 dan apabila Alex Song menjatuhkan Kane dalam kotak penalti, pengadil perlawanan Jonathan Moss pantas menghadiahkan sepakan penalti buat Spurs.

Kane tampil mengambil sepakan itu, tetapi rembatannya dihalang penjaga gol West Ham Adrian sebelum tindakan susulannya menghasilkan gol penyamaan.

West Ham kini hanya menang sekali dalam sembilan perlawanan terakhir, mengumpul 39 mata dan berada di tangga kelapan manakala Tottenham di tangga keenam dengan 44 mata, tiga mata di belakang Manchester United. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:22 AM