Cuba mengembangkan payung.
MELIPAT payung selepas sesi latihan.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Ketinggian Bukit Pahat di Kuala Kubu Bharu, Selangor iaitu kira-kira 427 meter (1,400 kaki) dari permukaan laut menjanjikan pengalaman menarik bagi peminat sukan udara.

Malah tidak jauh dari bukit berkenaan, Taman Millenium yang mempunyai fasiliti mini stadium bersama padang terbuka di samping tasik berhampiran membuatkan peminat sukan lasak paragliding tenang mendarat.

Tidak terkecuali lokasi berkenaan menjadi pilihan Inspiration Aviation Club (IAC) untuk menganjurkan kejohanan sulung mereka, Paragliding Accuracy Kuala Kubu Bharu (KKB) Open 2015 (PAKKBO) pada Mac depan.

Menurut Presiden IAC, Mohd Nafi Sulaiman, bukit berkenaan baru dibuka November lalu, dan menjadi pilihan kelabnya untuk membuat latihan ‘terbang’ apabila memiliki ciri terbaik bagi penggemar sukan udara, termasuk ketinggian bukit lebih sesuai selain mempunyai tempat mendarat stategik.

“Kami selaku kelab sukan udara yang mendapat sokongan Persekutuan Aeronatik Antarabangsa (FIA) serta Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) teruja mempromosi lokasi terbaru iaitu Kuala Kubu Bharu sebagai ‘port’ paragliding selain Jugra.

“Berbanding Jugra hanya 243 meter (800 kaki) kurang sesuai untuk jurupandu atau ‘pilot’ paragliding mengadakan latihan. Di sini ia jauh lebih baik selain mempunyai kriteria seperti mini stadium selain padang terbuka untuk latihan ‘kiting’ iaitu latihan asas bagi penerbang muda.

“Menyedari potensi lokasi ini, IAC teruja dan yakin pe­nganjuran Paragliding Accuracy Kuala Kubu Bharu (KKB) Open 2015 pada 14 dan 15 Mac depan menarik minat penggiat sukan ini.

“Ini tentu menguntungkan perkembangan sukan ini kerana dapat mewujudkan lebih ramai penggiat bukan saja sebagai aktiviti rekreasi, malah atlet untuk menyertai kejohanan luar,” katanya.

Ahli jawatankuasa penganjur kejohanan, Amar Ab Aziz, 30, teruja menjadi sebahagian daripada kejohanan itu. Bertanggung­jawab dalam mencari dana, dia yang juga peminat tegar sukan ektstrem udara berkata, selain lokasi baik, sokongan pihak tertentu dan korporat penting dalam menjayakan kejohanan paragliding itu.

“Sukan ini memerlukan kerjasama semua pihak. Kami bukan sekadar menganjurkan acara terbuka kebangsaan, malah bakal bekerjasama dalam Kejohanan Dunia, Paragliding Accuracy World Cup (PGAWC) Siri Kedua pada 1 hingga 3 Mei depan.

“Rasanya ia penting untuk kelab serta saya kerana lokasi ini mendapat perhatian FIA menganjurkan kejohanan elit bertaraf dunia, sekali gus menggamit perhatian ‘pilot’ jagoan untuk turun ke sini.

“Buat peserta tempatan, ini satu ‘bonus’ apabila boleh bersaing bersama ‘pilot’ tersohor dalam disiplin Paragliding Accuracy, selain mendapat kelebihan berlatih di tempat sendiri.

“Kelebihan buat agensi terbabit serta korporat pula, rasa­nya mereka boleh menyumbang dalam perkembangan sukan ini menerusi dana tertentu. Mereka ada prospek jangka panjang andainya sanggup berganding dengan kami di IAC. Harap mereka boleh bersifat terbuka dan menyedari potensi sukan udara pada masa akan datang,” katanya.

Pilot wanita, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa, 27, teruja menyertai kejohanan itu. Meskipun baru-baru ini terkandas pada ketinggian 15.24 meter selama empat jam, dia tidak serik, sebaliknya cekal untuk terus terbang.

“Saya rasa Bukit Pahat lebih selamat. Kawasan berpokok jauh lebih rendah daripada tempat pelepasan dan kemungkinan saya tersangkut lagi tipis.

“Diringkaskan, kalau terbang di KKB, saya boleh tarik nafas lega berbanding Jugra. Malah, di sini marsyal serta jurulatih boleh melihat dengan lebih jelas. Aspek keselamatan lebih terkawal di sini,” katanya.

Bagi Pegawai Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Zayanidi Abbad, sukan ini boleh berkembang dengan pantas serta mempunyai atlet berpotensi untuk kejohanan luar.

“Meskipun ia sukan rekreasi udara, namun untuk kejohanan tertentu ia mempunyai kelas tersendiri. Oleh itu di peringkat KBS, kami mengalu-alukan kerjasama kelab, perseorangan mahupun badan tertentu dalam kejohanan seperti ini.

“Saya harap penganjur teruskan usaha mencungkil atlet berpotensi untuk kejohanan antarabangsa seperti dalam PGAWC,” katanya.

Naib Presiden Serantau Timur dan Selatan FIA, Tengku Abdil­la Tengku Hassan berkata, dia optimis dengan penganjuran kejohanan itu berdasarkan spesifikasi lokasi strategik selain fasiliti jauh lebih baik di KKB.

“Saya menjangka sukan udara seperti paragliding boleh berkembang dalam kalangan penggiat sukan ekstrem, selain popular dalam kalangan belia ke arah melahirkan atlet bertaraf dunia.

“Malah, rekod sudah dibuktikan dengan kejayaan atlet menggondol pingat dalam kejohanan Sukan SEA lalu di Indonesia. Dengan dorongan betul, termasuk penajaan serta tunjuk ajar jurulatih profesional, kita boleh seiring dengan jagoan dunia.

“Langkah utama adalah PAKKBO pada Mac depan, disusuli PGAWC pada Mei. Diharap perkembangan dalam sukan ini boleh meletakkannya sebagai bidang keutamaan untuk diceburi, termasuk menganjurkannya di Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:02 AM