GAMBAR fail menunjukkan Obama (kiri) menanam pokok itu pada 25 Januari lalu.

New Delhi: Pihak berkuasa India menegaskan pokok yang ditanam Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiga minggu lalu masih hidup walaupun nampak layu.

Pokok peepal itu - sejenis spesies pokok ara - segar-bugar ketika ditanam Obama di tugu peringatan memperingati pejuang kemerdekaan Mohandas K Gandhi di New Delhi.

Bagaimanapun, ketika dilihat semalam semua daunnya sudah luruh.

Keadaan pokok itu membingungkan pihak berkuasa terutama apabila media tempatan menyelar mereka leka sehingga membiarkan pokok itu mati tidak sampai seminggu selepas ditanam.

Bagaimanapun, pakar hortikultur kerajaan, B C Katiyar berkata, fenomena itu biasa berlaku bagi pokok peepal.

“Ia memang musim luruh dan pokok itu akan mengeluarkan pucuk dalam tempoh 10 hari ini,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:07 AM