Vatican City: Sebuah kumpulan pejuang homoseksual Katolik diberi layanan istimewa buat kali pertama ketika majlis menghadap Pope Francis semalam.

Dalam perkembangan terbaru dilihat sebagai tanda perubahan gereja Katolik Roman terhadap golongan berkenaan, pengasas bersama pertubuhan New Ways Ministry, Jeannine Gramick berkata, ia adalah suatu perubahan dibawa pemimpin tertinggi Kristian itu.

“Kami pernah datang ke sini ketika Pope John Paul dan Pope Benedict masih memimpin gereja Katolik tetapi mereka tidak mengendahkan kami,” katanya.

Kedatangan Jeannine itu turut disertai pengarah eksekutif kumpulan berkenaan, Francis DeBernardo, serta kira-kira 50 pengikut mereka.

Pertemuan diadakan di Dataran St Peter.

Kata Jeannine, pada kali ini seorang biskop dari Amerika Syarikat bersama seorang pegawai tinggi Vatican menempatkan mereka di bahagian depan bersama tetamu penting dan kumpulan Katolik istimewa yang lain.

Bagaimanapun, dalam senarai tetamu dikeluarkan Vatican, pertubuhan itu hanya dirujuk sebagai “kumpulan yang ditemani oleh seorang rahib” dan tidak dinyatakan bahawa mereka mewakili kumpulan homoseksual.

Beberapa bulan selepas dilantik sebagai pemimpin Vatican, Francis mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak boleh menilai individu homoseksual yang mempunyai hati yang baik dan taat kepada tuhan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:05 AM