SETIAP hasil batik yang dijual diserahkan secara terus kepada pereka menerusi sistem perdagangan adil yang diamalkan di TBB.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Batik dan masyarakat Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Bak irama dan lagu, batik sejak dulu menjadi fabrik pilihan utama dalam keluarga Melayu, malah Cina dan India yang me–nyarungkannya setiap hari.

Mengikut sejarah awalnya, batik mula diperkenalkan di Kelantan pada era 1910-an. Bagaimanapun, ketika itu rekaan dan pemakaiannya amat terhad sehingga pernah ke satu tahap ia cuma boleh dipakai kerabat diraja.

Seiring dengan peredaran zaman, pemakaian batik kini tidak lagi terhad sebagai kain basahan atau kegunaan harian, sebalik-

nya menjadi salah satu koleksi rasmi pakaian kebangsaan.

Dan sejak kebelakangan ini makin ramai ibu tunggal serta komuniti kurang berkemampuan mula memperkasakan diri mereka menerusi pembuatan juga jualan hasil kraf berteraskan batik ini.

Seperti dilakukan The Batik Boutique (TBB), batik bukan sekadar warisan berzaman yang perlu dipertahankan, tetapi dijadikan medium untuk golongan kurang berkemampuan meningkatkan tahap ekonomi mereka.

Menerusi setiap pembelian batik, ia membantu golongan ini khususnya ibu tunggal yang menjadi tulang belakang kepada penghasilan produk batik di butik itu terbabit dalam aliran perdagangan adil (fair-trade) yang nyata memberi impak besar dalam kehidupan mereka.

Menurut pengasas TBB, Amy Blair, setiap hasil jualan disalurkan secara terus kepada mereka yang menghasilkan kraf itu, sekali gus membantu mengatasi masalah ‘orang tengah’ yang lazimnya menindas si pereka.

“The Batik Boutique berusaha membawakan transformasi holistik dalam kehidupan wanita ini dan keluarga mereka.

“Setiap hasil produk yang terjual diserahkan terus kepada mereka, sementara 20 peratus daripada keuntungan keseluruhan disalurkan kepada badan kebajikan di seluruh Malaysia.

“Ia perkembangan yang amat positif terutama selepas mendapat maklum balas mengenai perubahan tahap ekonomi wanita ini, hasil sokongan pembelian daripada peminat batik di butik ini,” katanya.

Diasaskan pada 2010, TBB bermula dengan bantuan kepada seorang ibu yang mencari sumber ekonomi untuk menyara keluarganya.

Usaha ini kemudian diteruskan kepada 30 wanita kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang dan Ipoh.

Sebagai tambahan kepada sasaran untuk memperkasakan lebih ramai wanita khususnya ibu tunggal dan memberi impak positif kepada masyarakat, TBB juga komited mempromosikan seni lampau dalam bentuk batik. Bagi koleksi musim ini, rekaan batik diterjemahkan secara sofistikated pada sarung telefon pintar iPhone5, selendang, buku nota rancangan tahunan, beg tote dan beg genggam.

Sebahagiannya menggunakan teknik celupan warna yang diselang-selikan dengan motif cetakan digital. Tidak ketinggalan beberapa hasil yang menerapkan kaedah mencanting pada helaian sutera krep 100 peratus.

Bagi peminat corak batik blok, beg tote menarik digayakan malah tahan lasak dengan penggunaan tali jenis kulit PU.

Untuk maklumat lanjut mengenai koleksi ini dan usaha yang dilakukan The Batik Boutique, boleh layari www.thebatikboutique.com atau www.facebook.com/thebatikboutique.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:02 AM