JK Simmons (kanan) dalam Whiplash.
MICHAEL Keaton.
JULIANNE Moore dalam Still Alice.
EDDIE Redmayne dalam The Theory Of Everything
ALEJANDRO Gonzalez Inarritu pengarah Birdman.
Susunan Riadz Radzi
riadz@hmtro.com.my

Pemenang enam kategori utama Academy Awards malam esok waktu tempatan di Los Angeles akan mengulangi keputusan di Golden Globe Awards, SAG Awards dan BAFTA, baru-baru ini.

Academy Awards kali ke-87 yang akan berlangsung malam esok waktu tempatan di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles pastinya dinanti-nanti penggiat dan peminat filem di seluruh dunia.

Daripada 24 kategori yang dipertandingkan, enam kategori utama paling mendapat perhatian pastinya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Academy Awards yang juga sinonim dengan panggilan Oscars itu.

Filem Birdman arahan Alejandro Gonzalez Inarritu dan The Grand Budapest Hotel arahan Wes Anderson masing-masing menerima sembilan pencalonan termasuk kategori Filem Terbaik.

The Imitation Game pula tercalon untuk lapan kategori, manakala American Sniper dan Boyhood masing-masing menerima enam pencalonan. Bagaimanapun, Boyhood arahan Richard Linklater yang menjalani penggambaran selama hampir 12 tahun diramal akan mengungguli kategori Filem Terbaik.

Sindrom 'bandwagon' mungkin bakal berlaku di Oscars selepas filem lakonan Ellar Coltrane, Ethan Hawke, Patricia Arquette dan Lorelei Linklater itu diangkat sebagai Filem Terbaik di Golden Globe Awards dan British Academy Film Awards (BAFTA) sebelum ini.

Bagaimanapun, kemampuan Birdman yang menampilkan lakonan Michael Keaton, Emma Stone dan Edward Norton memenangi Filem Terbaik di Screen Actors Guild (SAG) Awards baru-baru ini dilihat mampu mengenepikan Boyhood.

Bagi kategori ini, kedua-dua filem berkenaan bersaing dengan American Sniper, Selma, Whiplash, The Grand Budapest Hotel, The Theory Of Everything dan The Imitation Game. Trofi Oscar Pengarah Terbaik pula dilihat menjadi medan pertarungan Linklater dengan Inarritu.

Walaupun Linklater diramal bakal memenanginya berdasarkan pencapaian di Golden Globe dan BAFTA, tetapi kemampuan Inarritu tidak boleh diketepikan. Birdman yang menampilkan lakonan mantap, sinematografi menarik dan produksi berkualiti dijangka mampu meletakkan Inarritu sebagai pengarah Mexico kedua memenangi Oscars selepas Alfonso Cuaron menerusi filem Gravity tahun lalu.

Kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik juga berkemungkinan besar menjadi milik Eddie Redmayne dan Julianne Moore yang masing-masing cemerlang dalam filem The Theory Of Everything dan Still Alice.

Mereka yang menyapu bersih kategori ini di Golden Globe, SAG dan BAFTA lalu dilihat sukar digugat calon lain. Redmayne cukup cemerlang dengan watak Stephen Hawking dalam filem The Theory Of Everything. Dia dikatakan cukup sempurna membawa watak saintis terkenal dunia itu.

Hanya Michael Keaton mampu menggugat Redmayne selepas bekas pelakon Batman itu turut cemerlang dalam Birdman hingga memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Muzikal dan Komedi di Golden Globe.

Begitu juga watak Moore sebagai Dr Alice Howland yang mengidap penyakit Alzheimer. Sebagai Alice, Moore perlu membawa dua watak iaitu ketika sihat dan sebaliknya. Untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, JK Simmons disebut sebagai bakal pemenang menerusi filem Whiplash.

Memegang watak guru muzik yang agak 'brutal' ketika mendidik pelajarnya, Simmons dilihat mampu menewaskan calon lebih popular seperti Ethan Hawke, Edward Norton, Robert Duvall dan Mark Ruffalo.

Patricia Arquatte juga antara yang dilihat mampu membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik selepas menang di Golden Globe, SAG dan BAFTA. Academy Awards akan ditayangkan secara langsung di saluran HBO pada jam 9 pagi Isnin ini (waktu Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:01 AM