Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Jangan diungkit lagi kontroversi dirinya dengan aktres popular Fazura sebelum ini.

Bagi pelakon berbakat besar Sara Ali, apa yang berlaku cukup mematangkannya dalam meniti kehidupan sebagai anak seni.

"Bukan saya yang mencari kontroversi itu sebaliknya ia datang dengan sendirinya. Banyak yang saya belajar dari situ.

"Cukuplah dengan apa yang sudah berlaku dulu. Kami juga tidak pernah berhubung lagi selepas kontroversi berkenaan. Pada masa sama, saya serahkan kepada Allah jika ditakdirkam kami berbaik semula suatu hari nanti," katanya.

Secara peribadi, kata pemilik nama sebenar Siti Sarah Hairi Ali ini, sudah sampai masanya dia memberi fokus pada karier seni yang diceburi sejak lima tahun lalu.

Antara filem yang menaikkan namanya ialah Nur Kasih The Movie, Songlap dan Sesuatu Yang Tertinggal manakala drama lakonannya yang turut meninggalkan kesan ialah Maaf Jika Aku Tak Sempurna dan Satu Hari bersama Remy Ishak.

"Saya juga berhasrat berlakon dalam projek teater lagi pada tahun ini. Saya dapat banyak ilmu dalam pementasan teater kompilasi Namron Volume 2, Mat Derih Kola Perlih sebelum ini.

"Banyak yang dipelajari di pentas teater, sekali gus dapat memperbaiki prestasi lakonan sedia ada," katanya.

Pada masa sama, kata Sara, dia kini bernaung di bawah pengurusan Paranormal Talent Agency sejak tahun lalu.

Antara artis yang bernaung di bawah pengurusan sama ialah Nelydia Senrose, Mia Sara dan Elizabeth Tan.

"Saya akui karier seni lebih teratur dan tidak perlu terkejar-kejar ke lokasi drama bila bernaung di bawah pengurusan sekarang. Justeru, saya boleh fokus pada skrip dan watak dilakonkan bila ada syarikat pengurusan mengatur jadual kerja sekarang.

"Mengenai projek drama baru pula, saya dijangka ke lokasi penggambaran drama terbaru arahan Sabri Yunus pada Mac nanti," katanya yang turut dicalonkan sebagai Top 5 dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH 2014.

Bercerita mengenai kisah peribadinya, Sara mengakui sudah memiliki teman istimewa ketika ini.

"Saya berkawan rapat dengan seseorang. Dia hanya orang biasa dan bukan dalam kalangan orang seni mahupun VIP.

"Setakat ini, kami masih dalam proses mengenali hati budi lagi. Saya juga tidak merancang untuk berkahwin sekarang kerana ingin fokus pada karier terlebih dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:01 AM