EZAD serta isteri dan anak yang menjadi tunjang kekuatannya selama ini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Pelbagai dugaan dialami penyanyi Ezad Lazim dan isterinya Nor Azeana Ramli dan anak mereka Puteri Rania Keisha dalam persiapan untuk berangkat mengerjakan umrah malam ini hingga 4 Mac depan.

Bagaimanapun, ia langsung tidak mematahkan semangat bekas vokalis Exists ini untuk ke sana dan memanfaatkan tempoh yang ada bagi memperbanyakkan amal ibadat, menginsafi diri serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

"Perancangan untuk mengerjakan umrah dibuat apabila saya ditahan polis berikutan kesalahan dadah. Sebelum itu kami pernah juga merancang, tapi perkara ini semakin serius difikirkan apabila isteri saya berniat sekiranya kes ini selesai dengan baik, kami akan buat umrah satu keluarga.

"Alhamdulillah kes saya selesai dengan baik tanpa tindakan susulan dan kami perlu menepati niat yang dibuat. Zeana juga nampak saya ada perubahan positif dan nak bawa saya buat umrah bagi mencuci dosa," katanya.

Dalam penghakiman yang dibuat di Mahkamah Majistret Selayang pada 10 Februari lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Jesnita ini didenda RM3,500 serta dikenakan pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas mengaku bersalah memiliki syabu seberat 0.3 gram pada 19 November tahun lalu.

"Mengerjakan umrah adalah satu peluang terbaik buat saya. Sememangnya saya reda dengan hukuman yang diterima dan anggap ia satu kenangan yang takkan dilupakan sampai bila-bila.

"Zeana beria-ia sangat nak ke Makkah dan saya bertuah mempunyai isteri sepertinya. Saya bersyukur sangat-sangat selepas kejadian itu dia masih beri peluang kepada saya untuk berubah. Selepas kami, giliran ibu bapa saya pula menyusul untuk buat umrah pada Mac ini.

"Apa pun semua yang berlaku mempunyai hikmah yang baik dan kes ini pun dah selesai sepenuhnya. Perkara ini akan jadi iktibar buat saya," katanya yang akan berhati-hati memilih kawan selepas ini.

Begitupun, Ezad mengakui keperitan yang dilalui apabila undangan untuk menjayakan persembahan tersekat seketika kerana kes ini.

"Tak dinafikan kesannya teruk pada karier saya. Mujurlah beberapa pihak seperti Wedding Studio masih menjemput saya untuk menyanyi. Harapnya balik dari umrah nanti rezeki saya akan kembali murah seperti dulu. Saya nak berjaya semula dalam nyanyian," katanya.

Dalam pada itu, Ezad kini tampil dengan single terbaru berjudul Hati Mati yang turut menampilkan RJ sebagai penyanyi undangan.

"Lagu ini masih dalam rangka promosi dan peminat belum tahu secara menyeluruh. Balik dari umrah nanti saya bercadang nak giatkan semula promosi dan akan berbincang dengan MVM Production untuk buat pelancaran di Iris House Hotel & Resort Cameron Highland.

"Lagu ciptaan Dj Fuzz dan lirik Adeep ini memang berlainan daripada lagu nyanyian saya sebelum ini dan mungkin peminat sukar nak terima. Tapi, apa salahnya sesekali saya buat pembaharuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:00 AM