KEMALANGAN membabitkan dua kereta di Kawasan Industri Kampung Acheh. FOTO ihsan Bomba dan Penyelamat
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Manjung: Seorang wanita maut, enam cedera manakala seorang terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kawasan Industri Kampung Acheh, di sini, 5.25 petang ini.

Kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan Proton Iswara yang dinaiki lapan individu.

Menurut Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, mangsa yang maut dipercayai seorang wanita yang juga penumpang hadapan Myvi.

Menurutnya, mangsa cedera membabitkan tiga dewasa dan tiga kanak-kanak.

“Bomba menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 5.25 petang dan sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati kemalangan adalah membabitkan dua kenderaan yang bertembung, .

"Maklumat awal mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan dinaiki lapan individu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba dari Sitiawan diketuai Penguasa Bomba Razlan Dimyati dengan bantuan Bomba Manjung menjalankan operasi menyelamatkan dan tamat pada 6.40 petang.

Menurutnya, mayat mangsa yang dikeluarkan kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 9:57 PM