ALOR SETAR: Polis menahan lima lelaki berumur 22 hingga 44 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gunung Sali di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata dalam serbuan jam 1.30 tengah hari itu, polis menemui dadah jenis heroin seberat 157.5 gram bernilai RM7,000.

"Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dan pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg silang mengandungi 24 peket plastik lutsinar dalam pelbagai saiz berisi heroin seberat 109.5 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kota Setar hari ini.

Katanya, polis turut menemui tiga peket heroin seberat 48 gram di dalam rumah berkenaan bersama satu alat penimbang dan plastik untuk membungkus dadah, yang dipercayai dibekalkan dari Pulau Pinang.

Adzaman berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati kelima-lima suspek yang menetap di sekitar Alor Setar itu positif dadah jenis heroin, dengan tiga daripadanya mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 7:40 PM