PERALATAN yang digunakan suspek. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Dua lelaki yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal dicekup polis dalam satu operasi di Jalan Kampung Jawa Baru, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan pada 3 petang oleh sepasukan anggota rondaan jenayah dari Balai Polis Jalan Patani dan Balai Polis Lebuh Pantai yang melakukan operasi Ops Rentap.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua suspek terbabit dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota polis kemudian mengarahkan kedua-dua lelaki berusia 28 dan 33 tahun itu berhenti untuk pemeriksaan dan hasilnya pihaknya menemui kabel yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati motosikal yang ditunggang mereka adalah motosikal curi dan pernah dilaporkan hilang di Tanjung Tokong, di sini.

"Polis turut menemui pelbagai peralatan seperti pemutar skru, playar, spanar, gunting besi dan pisau pemotong kertas dalam beg silang yang dibawa mereka.

"Kita percaya yang kedua-dua suspek ini aktif melakukan jenayah curi motor dan merek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siastaan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersangkut kes dadah manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi menumpaskan segala kegiatan jenayah yang berlaku sekitar daerah Timur Laut dan meminta kerjasama orang ramai menyalurkan apa juga maklumat kepada polis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 4:39 PM