Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) melihat pembentukkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan memberi manfaat kepada usahawan francais tempatan meluaskan jaringan perniagaan mereka di rantau ASEAN pada masa depan.

Menerusi Persidangan Francais Antarabangsa 2015 (IFS 2015) yang bakal diadakan pada 6 hingga 8 Mac depan di Menara PNS, Kuala Lumpur anjuran PNS akan memberi pendedahan kepada pemain francais tempatan mengenai manfaat pelaksaaan AEC kepada industri berkenaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, menerusi pembentukkan AEC, PNS berhasrat dapat meluaskan jaringan perniagaan syarikat francais tempatan ke sepuluh negara ASEAN dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, AEC memudahkan dagangan antara negara di rantau berkenaan menerusi persetujuan dalam ekonomi yang diadakan oleh pihak kerajaan.

“IFS 2015 memberi manfaat kepada semua pemain industri francais tempatan dan antarabangsa dari segi peluang perniagaan menerusi perkongsian maklumat yang diadakan dalam tempoh persidangan ini berlangsung. Maklumat mengenai peluang perniagaan dalam AEC adalah salah satu topik yang akan dibincangkan oleh panel IFS 20145.

“Malah, IFS 2015 juga memberi peluang usawahan tempatan menyertai enam jenama perniagaan francais antarabangsa yang bakal menyertai persidangan ini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 6 Mac depan,” katanya.

IFS 2015 menyasarkan 500 peserta tempatan dan luar negara dan setakat ini terdapat usahawan dari lapan negara antaranya Korea, India, Sri Lanka dan Jepun berminat menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:14 AM