Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima lebih 16,000 akaun baru menerusi penganjuran Kempen Cuti-Cuti BSN pada 8 September hingga 31 Disember 2014.

Kempen itu turut menyaksikan bank berkenaan menerima lebih 72,000 penyertaan bagi pertukaran kepada Kad Debit Visa payWave BSN yang disediakan khusus bagi pemilik akaunnya yang berusia 13 tahun ke atas.

BSN dalam kenyataannya berkata, untuk menyertainya, pelanggan hanya perlu melakukan sebarang transaksi perbankan menggunakan saluran perkhidmatan kewangan BSN.

“Seramai 10 pemenang utama yang telah membuat transaksi deposit lebih RM250,000 memenangi pakej percutian lima hari empat malam ke Korea dengan melawat tempat popular seperti Pulau Nami, Petite France, Muzium Bersejarah dan Studio Korean Broadcasting System (KBS).

“Selain itu, seramai 40 pemenang dipilih sebagai pemenang bulanan kerana membuat transaksi deposit sehingga RM80,000 selain penggunaan Kad Debit Visa payWave BSN dan pemenang bulanan itu menerima ganjaran tiga hari dua malam ke Universal Studios di Singapura selain melawat Merlion dan Istana Kampung Gelam,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen Cuti-Cuti BSN itu disempurnakan oleh Naib Presiden dan Ketua Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah pada 10 Feb lalu.

Pakej hadiah percutian Kempen Cuti-cuti BSN itu hasil kerjasama Malaysia Airlines (MAS), Singapore Tourism dan Lintas Travel Services (M) Sdn Bhd. BSN turut merancang penganjuran kempen yang lebih menarik untuk pelanggan dan orang ramai pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:12 AM