Chengde (China): Seorang lelaki mengamuk dan membunuh tujuh anggota keluarganya sebelum membunuh diri beberapa hari sebelum perayaan Tahun Baru China.

Dalam kejadian itu, Wu Shouguo, 38 tahun dipercayai memukul isterinya, dua anak dan empat anggota keluarga isterinya malam Ahad lalu, menurut kenyataan akhbar dikeluarkan biro awam bandar Chengde, semalam.

Wu kemudian membunuh diri dengan meminum racun serangga.

Polis menemui tujuh mayat, termasuk Wu, di kediamannya di kampung Xiaonangou di wilayah Hebei.

Mayat kakak iparnya ditemui di kilang yang terletak 100 meter dari rumahnya.

Wu tinggal bersama ibu bapa dan kakak iparnya sejak mereka berkahwin pada 2000, tetapi dia kerap bertengkar dengan keluarga isterinya.

Dia dipercayai terlalu marah hingga menyebabkan dia bertindak membunuh isteri, anak lelaki dan perempuan berumur tujuh dan 14 tahun, mentuanya serta anak saudara lelaki berusia 10 tahun.

Polis berkata, Wu kemudian pergi ke asrama kilang tempat kakak iparnya tidur malam itu dan memukulnya hingga mati sebelum pulang ke rumah untuk membunuh diri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:09 AM