SARA (kiri) dan Pinky antara gadis muda India yang mendapatkan perlindungan Komando Cinta.
VANDNA dan Dilip sanggup tinggalkan keluarga demi menyatukan cinta mereka.
PENGHUNI sementara rumah perlindungan Komando Cinta saling memahami masalah mereka.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Demi cinta, Vandna sanggup meninggalkan semuanya termasuk ibu bapa. Apabila dia lari dari rumah orang tuanya bermakna dia dengan rela hati mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, kawan, pelajaran dan melupakan cita-citanya menjadi guru semata-mata mahu berkahwin dengan pilihan hatinya.

Sebenarnya pilihan Vandna itu tidak disena­ngi ibu bapanya, tetapi Vandna tahu jika terus ting­gal bersama mereka, impian untuk hidup bersama lelaki yang dicintai akan hanya tinggal mimpi.

Wanita muda berusia 22 tahun itu berterima kasih kepada Komando Cinta (Love Commandos), satu badan berpusat di New Del­hi yang ditubuhkan bagi membantu percintaan pasangan yang dihalang keluarga berakhir dengan perkahwinan. Apa yang lebih penting mereka boleh hidup bersama dan mempunyai tempat berlindung.

Komando Cinta adalah ilham bekas wartawan, Sanjoy Sachdev, dilancarkan pada 2010 selepas membantu membersihkan nama seorang lelaki yang dituduh merogol oleh keluarga wanita yang ingin dikahwininya.

Sejak itu, dia sudah membantu ribuan pasa­ngan yang terdesak untuk mendirikan rumah tangga, memberikan mereka tempat berlindung dan akses kepada khidmat nasihat guaman.

Organisasi itu beroperasi di tujuh pangsapuri di tengah ibu kota India dan ia juga menjadi rumah perlindungan sementara kepada 300 pasangan yang melarikan diri daripada kemarahan dan sumpah seranah keluarga.

“Ada yang tinggal bersama kami selama 14 jam saja, tetapi ada juga terlajak hingga 14 bulan,” kata Sanjoy.

Seperti wanita muda lain di India, Vandna sepatutnya berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya. Mereka berasa sangat terkejut dan bimbang apa­bila mengetahui hubungan Vandna dengan Dilip, yang dikahwininya pada Julai lalu.

Untuk menghalang percintaannya itu, ibu bapanya tidak membenarkan Vandna pergi ke kolej untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang perniagaan dan perakaunan. Kemudian ibu bapanya segera mengatur supaya dia berkahwin de­ngan seorang saudara mereka.

Sehari sebelum perkahwinannya, Vandna nekad melarikan diri, yang membuatkan ibu bapa dan seluruh keluarga berasa sangat marah serta kecewa.

“Sejak melarikan diri, saya belum menghubu­ngi ibu bapa atau kawan-kawan,” kata Vandna memulakan kisahnya, sambil duduk rapat di sebelah suaminya di rumah perlindu­ngan Komando Cinta.

“Saya mahu menjadi guru dan suami pula mahu membuka perniagaan sendiri, tetapi kami tidak tahu apakah ia akan jadi kenyataan,” kata wanita muda itu yang jarang-jarang keluar dari pangsapuri berkenaan.

Jika dilihat memang India kini dilanda arus kemodenan, tetapi menurut Sanjoy, keganasan ke atas golongan muda yang memilih pasangan hidup sendiri dan menentang kehendak ibu bapa masih menjadi isu besar di negara itu. Disebabkan kasta, agama, isu status ekonomi atau sosial menyebabkan ramai ibu bapa berusaha sedaya upaya menghalang hubungan cinta anak mereka.

“Ramai pasangan muda ini cuba meyakinkan ibu bapa masing-masing untuk menerima pilihan hati mereka, tetapi usaha itu sia-sia. Biasanya ibu bapa akan menghentikan pengajian dan mengurung anak gadis mereka. Bahkan ada ibu bapa yang lebih rela anak mereka mati dibunuh dengan alasan untuk menjaga nama baik keluarga,” sambung Sonjay.

Budaya membunuh anak perempuan ini sudah diamalkan di India sejak berabad lamanya. Biasanya ia dilakukan ke atas pasangan muda yang menjalin hubungan dengan individu berlainan kasta dan status ekonomi serta tidak mendapat restu keluarga atau ditentang masyarakat.

Pembunuhan ini dilakukan ahli keluarga terdekat atau warga senior yang dihormati dalam masyarakat bagi menjaga ‘nama baik dan maruah’ keluarga.

Itulah nasib yang menimpa Bhawna Yadav, 21. Ibu, bapa dan bapa saudaranya kini dituduh berpakat membunuhnya dan memusnahkan mayatnya selepas mengetahui dia berkahwin secara rahsia.

Keluarganya mahu Bhawna mengahwini lelaki daripada kasta Yadav, sedangkan suaminya, Abishek Seth bukan daripada kasta yang menjadi pilihan ibu bapanya.

Sebaik mendapat tahu mengenai perkahwinan–nya, ibu bapa Bhawna meminta Abishek untuk membenarkan anak mereka balik ke kampung dengan alasan mahu membuat majlis kesyukuran atas pernikahan pengantin baru itu.

Atas nasihat kawan-kawan, Abishek bersetuju memenuhi permintaan ibu bapa mentuanya. Namun, tidak lama selepas isterinya balik ke kampung, dia menerima panggilan daripada sepupu Bhawna memberitahu Bhawna sudah dibunuh dan mayatnya pula dibakar.

“Kami ada banyak rancangan masa depan. Dia mahu bercuti di Goa dan membuat tatu di lengan sebagai lambang percintaan kami berdua,” kata Abishek yang tetap menunaikan impian isteri kesaya–ngannya itu meskipun dia sudah tiada.

Pengasas Komando Cinta, Sonjay berkata, insiden mengerikan seperti itu bukan saja biasanya tidak dilaporkan, malah kadangkala polis sengaja menutup sebelah mata walaupun ia berlaku di kawasan mereka.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu menjalankan tugas yang lebih baik bagi memberi perlindungan kepada pasangan muda dan beliau juga menggesa parti politik untuk tampil dengan agenda bagi melindungi hak orang yang bercinta.

Katanya lagi, pada masa sama semakin ramai golongan muda yang mencari kekuatan untuk berkahwin kerana cinta, mengetepikan tekanan keluarga dan masyarakat ataupun ancaman disakiti.

Walaupun tradisi perkahwinan atur masih utuh di India, pakar berkata keadaan, kini sudah mula berubah dan semakin bertambah baik.

“Saya fikir pendidikan memberi wanita pemba­bitan yang lebih besar dalam soal perkahwinan mereka khususnya yang diatur keluarga,” kata pensyarah sosiologi, Sonalde Desai. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:06 AM