SETIAP lukisan inai dihasilkan Nurul Shahira mempunyai keistimewaan tersendiri.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Meminati bidang kecantikan dan seni lukisan sejak kecil membuatkan wanita muda berusia 25 tahun ini mula membabitkan diri secara serius sebagai pelukis inai.

Nurul Shahira Subari atau mesra dipanggil Shiera mula menceburi bidang itu sejak 2008 dan sehingga kini mempunyai lebih 50 pilihan rekaan henna hasil ideanya sendiri.

Menurut Nurul Shahira, sejak kecil dia gemar melukis dan minat mendalamnya itu membuatkan dia yakin untuk mengembang­kan bakat semula jadi yang dianugerahkan Allah kepadanya.

“Saya tidak sangka ada ramai peminat lukisan inai atau henna. Alhamdulillah cubaan saya membuahkan hasil dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Bagi saya setiap pelukis inai ada kelebihan tersendiri. Kita perlu rajin mencuba untuk menghasilkan rekaan yang berseni dan halus. Saya gunakan inai yang menghasilkan warna merah supaya ia tampak lebih menyerlah dan cantik,” ujarnya.

Wanita yang mengusahakan perniagaan Henna Heart Design itu mengakui wujudnya persaingan sengit daripada pengusaha perniagaan itu menuntutnya untuk menjadi lebih kreatif dan serius bagi mendapatkan hasil terbaik kepada pelanggan.

Menurutnya, dia mencipta rekaan lukisan inai baru setiap minggu bagi memastikan rekaan­nya tidak ketinggalan selain mementingkan aspek kehalusan.

“Pada hujung minggu biasanya saya akan ke rumah pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat saya. Saya mengambil tempahan melukis inai di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor saja buat masa ini. Ada rezeki saya mahu kembangkan perniagaan ke kawasan lain pada masa akan datang,” ujarnya.

Wanita kelahiran Bukit Kapar, Klang, Selangor itu bersyukur kerana keluarga serta tunang banyak memberi sokongan kepadanya untuk memajukan perniagaan.

“Harga setiap lukisan bergantung kepada jenis lukisan inai yang dipilih. Saya akui bukan mudah untuk memuaskan hati setiap pelanggan, namun saya yakin jika kita memberikan perkhidmatan terbaik, pasti mereka berpuas hati. Apa yang lebih penting mereka menghebahkannya kepada orang lain. Kepuasan pelanggan sebenarnya menjadi kaedah pemasaran yang sangat berkesan,” katanya.

Nurul Shahira berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada bakal raja sehari dan keluarga pengantin, namun ada juga pelanggan yang membuat lukisan inai sekadar suka-suka.

“Semua wanita mahu kelihatan cantik dan lukisan inai di tangan boleh menambahkan seri seseorang. Begitu juga dengan saya. Saya puas setiap kali melihat tangan dan kaki pelanggan cantik dilukis mengikut kreativiti saya sendiri,” katanya.

Nyata wanita muda ini boleh tersenyum bangga kerana mampu menjana pendapatan sampingan dalam bidang yang diminatinya sejak kecil.

“Syukur, hampir setiap minggu jadual saya penuh. Ia satu cabaran kepada saya untuk menghasilkan lebih banyak rekaan terkini. Saya tidak mahu terikat kepada corak biasa yang pernah digunakan kepada pelanggan terdahulu,” katanya yang berhasrat menjadikan kerjaya itu sebagai kerja tetap. Rekaan lukisan inai Nurul Shahira boleh dilihat di laman Facebook Henna Heart Design.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:05 AM