CALON Top 5 pada sidang media pengumuman finalis ABPBH 2014.
Oleh Norakmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Pelakon cilik Puteri Balqis mencatat sejarah dalam penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 edisi ke-28 kali ini kerana menjadi calon termuda.

Kanak-kanak berusia lapan tahun ini disenaraikan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular bersaing dengan Aisyah Aziz, Amyra Rosli, Indah Ruhaila dan Ayda Jebat.

Balqis sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2014 dan Asian Television Award 2014.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang sudi mengundi diri ini. Saya tidak mempunyai kelab peminat apatah lagi melobi di laman sosial supaya peminat mengundi saya di ABPBH 2014,” katanya.

Dalam pada itu, pelawak dan pelakon popular Zizan Razak tercalon dalam tiga kategori ABPBH2014 selepas pe­ngumuman calon Top 5 bagi 15 kategori dipertandingkan, kelmarin.

Zizan dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Pengacara TV Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

Selain calon yang sinonim dengan ABPBH seperti Aaron Aziz, Shaheizy Sam, Fara Fauzana, Datuk Aznil Nawawi, Didie Alias, Jihan Muse, Hafiz dan Stacy, muka baru seperti pelakon Ayda Jebat, Amyra Rosli, Puteri Balqis dan Zul Ariffin juga menepati ramalan apabila turut dicalonkan.

Pengumuman dilakukan Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2014 Shamshul Azree Samshir.

Shamsul Azree berkata, artis yang tercalon untuk Top 5 digalakkan menyertai ‘road tour’ supaya mereka dapat mendekati peminat.

“Mereka boleh gunakan peluang ‘road tour’ itu dengan sebaiknya untuk lebih rapat dengan peminat bagi meraih undi,” katanya.

Pencarian Bintang Popular untuk setiap 15 kategori yang dipertandingkan dan Bintang Paling Popular bermula hari ini hingga 25 Mac depan.

Borang undian pusingan kedua akan disiarkan di akhbar BH dan BH Ahad untuk pembaca memilih artis kesukaan mereka bagi setiap kategori.

ABPBH 2014 yang sudah memasuki edisi ke-28 akan bersiaran secara langsung dari Arena Of Stars, Genting Highlands dan disiarkan secara langsung di TV3 dan radio Hot FM pada 5 April depan jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:04 AM