CHEONG (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Senator Datuk Chai Kim Sen selepas merasmikan Vtwo di Hotel Westin.

Kuala Lumpur: PUC Founder (MSC) Berhad (PUC Founder), syarikat penyelesaian teknologi maklumat (IT) memperkenalkan pelan pengiklanan media Malaysia dikenali pelan Vtwo khusus kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi meningkatkan pendapatan pengiklanan dan media.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Cheong Chia Chieh berkata pelan terbabit memberi peluang kepada pengiklan PKS untuk mendapatkan iklan melalui platform pengiklanan seperti televisyen, radio, surat khabar dan pemasaran langsung elektronik dan atas talian pada kos rendah.

“Produk ini membolehkan pengiklan PKS memperuntukkan amaun pelaburan kecil secara ansuran dalam tempoh pembayaran selama enam bulan atau 12 bulan tanpa faedah untuk mendapatkan iklan di media terpilih,” katanya pada majlis pelancaran pelan Vtwo di sini, baru-baru ini.

Pelan itu dihasilkan melalui dua anak syarikat yang dimiliki PUC Founder iaitu agensi pengiklanan, Red Hot Media Sdn Bhd (RHM) yang berperanan sebagai aggregator dan pemasar serta EPP Solution Sdn Bhd (EPP) sebagai penyedia penyelesaian pembayaran.

Beliau berkata, PKS adalah tonggak utama kepada pembangunan ekonomi negara di mana ia menyumbang sebanyak 33 peratus dan dijangka mencapai tahap 41 peratus menjelang 2020.

Menurutnya, pengenalan pelan Vtwo itu diharap membantu pengiklan PKS untuk mengambil lebih bahagian dalam pengiklanan di mana ia tidak selari dengan perbelanjaan pengiklanan (Adex) semasa negara dengan sebahagian besarnya adalah bergantung kepada 50 pengiklan tempatan teratas.

“Perbelanjaan pengiklanan tempatan memiliki hubung kait rapat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di mana ia mengalami penurunan sebanyak 0.6 peratus kepada RM1.2 bilion pada Julai lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:01 AM