Jaipur (India): Seorang bayi nyata panjang umur apabila terselamat selepas terjatuh dalam lubang tandas kereta api ke atas landasan sejurus selepas dilahirkan ibunya.

Pegawai kanan polis Subhash Vishnoi berkata, wanita berusia 22 tahun itu pengsan di dalam tandas selepas melahirkan anaknya, semalam, ketika kereta api itu berhenti sebelum tiba di stesen Hanumangarh di Rajasthan.

“Dia mula sakit hendak bersalin dan pergi ke tandas untuk membuang air, namun tanpa disangka melahirkan anak lelaki yang terus tergelincir jatuh ke dalam lubang jamban dan jatuh ke atas landasan,” katanya.

Wanita itu hanya ditemui keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kereta api itu bergerak menuju ke stesen Hanumangarh.

Seorang pengawal keselamatan kebetulan melihat bayi itu menangis di atas landasan sebelum memaklumkan kepada polis yang membawanya ke hospital berdekatan.

Anggota polis Ram Singh berkata: “Wanita itu dan suaminya amat gembira selepas mengetahui bayi mereka hidup dan dalam keadaan selamat.” - Agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 7:49 AM