DATUK Law (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas polis.
Oleh Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah dan wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM400,000.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, dalam serbuan pada 11 Februari lalu, dua lelaki berusia 35 tahun ditahan di sekitar Jalan Tun Razak kira-kira 9.30 malam.

Beliau berkata, polis merampas dadah jenis Heroin seberat 1804 gram, 1220 biji Pil Ecstacy, 600 biji Pil Eramin 5, ketamin (50gram) dan Syabu (224gram) bernilai RM198,420 bersama wang tunai RM30,000.

"Dalam serbuan pada 13 Februari, 6.45 petang, dua lagi lelaki tempatan masing-masing berusia 33 dan 41 tahun ditahan di kawasan perumahan di Taman Midah Ria, Cheras," katanya.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis syabu seberat 102 gram dan 3290 biji Pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM212,700.

Katanya semua suspek direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:56 AM