Gelak tawa kanak-kanak yang penuh keriangan memenuhi ruang ketika mereka mengambil bahagian dalam aktiviti di Galeri Petronas pada Festival Sains Petrosains 2014 baru-baru ini.

Lebih 5,000 pengunjung mengambil bahagian dalam aktiviti interaktif, antaranya menghasilkan karya seni dan kraf pada Dinding Seni Pasir Diya.

Menurut Pengarah Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim, acara terbabit dijalankan untuk memperkenalkan dan mendekatkan Galeri Petronas dengan orang ramai.

"Kami gembira dengan sambutan yang diberikan pengunjung dalam pelbagai aktiviti di sini dan berharap lebih ramai akan datang pada masa depan untuk melihat sendiri hasil seni yang dipamerkan di Galeri Petronas," katanya.

Selain itu, festival yang bertemakan slogan 'Tenaga-Kini dan Masa Depan' turut menggunakan karya yang memenangi pertandingan seni tahunan anjuran Petronas sebagai pendorong untuk menggalakkan kanak-kanak membuat persediaan bagi menyertai pertandingan sama pada masa depan.

Festival itu turut menampilkan watak maskot, Diya yang dihasilkan pelukis tempatan, Emila Yusof, dalam usahanya memupuk minat terhadap seni dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Lebih menarik, Diya mempersembahkan seni tarian yang rancak di atas pentas dan menghiburkan kanak-kanak yang turut menari bersamanya.

Pengunjung juga diberi peluang meluahkan perasaan dengan melukis mural menggunakan alatan disediakan selain mendapat panduan daripada pelukis tempatan yang hadir.

Acara itu selari dengan falsafah Petrosains yang komited untuk memupuk bakat pelukis tempatan dan membangunkan bidang seni lukis di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:00 AM