AP

Teheran: Iran menafikan laporan yang mengatakan pemimpin tertingginya Ali Khamenei (gambar) menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ketika negara itu merundingkan program nuklear dengan kuasa dunia.

Agensi berita IRNA memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar, Marzieh Afkham, yang merujuk kepada laporan yang dikeluarkan Wall Street Journal Sabtu lalu sebagai ‘permainan media tidak profesional’.

“Memang Presiden AS pernah menghantar surat dan pernah juga Iran menjawabnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Iran tidak mempunyai rancangan lanjut untuk menulis kepada Obama lagi.

Laporan Wall Street Journal mengatakan, surat yang ditulis Ayatollah Ali Khamenei kepada Obama baru-baru ini sebagai tindak balas kepada Obama yang mahu Iran bekerjasama dengan gabungan sekutu Amerika untuk memerangi kumpulan pelampau Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria.

Khamenei juga dikatakan menggariskan beberapa salah laku AS terhadap Iran dalam tempoh 60 tahun lalu.

Laporan itu turut memetik kenyataan bekas pegawai pentadbiran Obama yang tidak dinamakan mendakwa ia mungkin permulaan untuk membaiki hubungan dingin antara negara itu sejak Revolusi Islam Iran 1979 yang melihat penggulingan Shah Iran yang disokong AS.

November lalu, Iran mengakui membalas surat dihantar Obama - kali pertama republik berkenaan mengesahkan komunikasi seumpama itu, namun tidak jelas sama ada Khamenei menulis surat itu sendiri.

AS dan Iran sebelum ini pernah mengadakan beberapa mesyuarat rahsia pada 2013 sekaligus membuka jalan kepada perjanjian nuklear interim bersejarah di Geneva.

Obama dan Presiden Iran, Hassan Rouhani juga mencipta sejarah dengan perbualan telefon pertama antara pemimpin dua negara itu sejak 1979. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 7:43 AM