BENZEMA ledak gol kedua Real.
AP

Barcelona: Real Madrid memerlukan gol daripada Isco dan Karim Benzema untuk mengatasi Deportivo La Coruna 2-0 dan memastikan kekal sebagai pendahulu La Liga sepanyol, awal pagi semalam.

Ghairah menebus kekalahan memalukan 0-4 di tangan Atletico Madrid pada perlawanan minggu lalu, bintang Real, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale menyaksikan percubaan mereka terkena palang sebelum Isco membuka tirai jaringan pada minit ke-23.

“Memang sukar selepas tamparan hebat kami terima minggu lalu,” kata Isco. “Namun pasukan ini bangkit daripada situasi sukar.”

Rapuh di pertahanan, Deportivo bagaimanapun berbahaya ketika menyerang dan hanya dinafikan tiang gol serta kecekapan Iker Casillas di pintu gol Real.

Real belum membuat sebarang percubaan pada babak kedua apabila Benzema memastikan kemenangan pada minit ke-73, dua minit selepas pemain tengah Brazil, Lucas Silva melakukan penampilan sulung bersama kelab itu sebagai pemain gantian.

“Ia bukannya perlawanan mudah, kami bermain baik, tapi tidak begitu memuaskan,” jelas jurulatih Real, Carlo Ancelotti.

“Kami berdepan kesukaran selepas minggu yang ganjil dan merumitkan, tapi kemenangan ini patut meletakkan kami kembali di landasan tepat.”

Real mendahului Barcelona dengan empat mata. Kelab Catalunya itu beraksi menentang Levante awal pagi tadi manakala juara bertahan Atletico, kini tujuh mata di belakang pendahulu, berkunjung ke Celta Vigo.

Real bertandang ke Schalke 04 bagi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Sementara itu, Sevilla menundukkan Cordoba 3-0 pada perlawanan berat sebelah di Seville dengan kedua-dua pasukan berakhir 10 pemain, untuk menguasai tangga keempat.

Cordoba merudum ke tangga tercorot selepas Granada seri 0-0 dengan Athletic Bilbao di gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:03 AM