MOHD Ibrahimnuddin (dua dari kiri) melancarkan ‘Petronas Coffee Break’.

Tapah: Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang menguruskan stesen minyak Petronas merancang untuk menambah 20 lagi stesen minyak di seluruh negara tahun ini.

Pengarah Urusannya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, syarikat pemasaran domestik itu setakat ini memiliki rangkaian stesen minyak terbanyak di negara ini iaitu 1,062 stesen.

“Stesen minyak baru ini dibuka di kawasan strategik dan kita akan memastikan penambahan stesen ini dapat memberi pulangan yang sangat baik,” katanya selepas melancarkan ‘Petronas Coffee Break’ bersempena sambutan Tahun Baru Cina di kawasan Rehat dan Rawat Tapah arah utara, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PDB berkata, selain bekalan bahan api, semua stesen minyak kendalian Petronas turut dilengkapi kemudahan setempat bagi pelanggannya membeli barangan, melakukan transaksi seperti pembayaran bil serta menikmati hidangan makanan sambil bersantai bersama keluarga dan rakan.

“PDB turut mengukuhkan lagi komitmennya terhadap aspek keselamatan jalan raya dan perkhidmatan bantuan kecemasan dengan menghulurkan sumbangan kepada St John Ambulans Malaysia sebanyak RM20,000. Ini bagi membolehkan ambulans mereka yang digunakan bagi rondaan di lebuh raya utama diisi dengan minyak Petronas ‘PRIMAX 95 with Advanced Energy Formula’ itu,” katanya.

Mengenai kempen Petronas Coffee Break, katanya ini adalah kali ke-16 diadakan dengan fasa pertama bermula semalam hingga 15 Februari dan disambung semula bagi fasa kedua mulai 21 hingga 22 Februari di 39 stesen terpilih sepanjang lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 6:41 AM