PELANGGAN menyelubung seluruh badan dan berdiri sebentar di atas wap air sebelum duduk di kerusi sehingga air ramuan sejuk.
LETAKKAN kerusi khas di atas ramuan.
CAMPURAN bahan direbus sehingga mendidih.
BUNGA mawar, melur, daun pandan dimasukkan.
SELEPAS mendidih, limau purut dimasukkan ke dalam air.
AIR dipanaskan di atas api sebelum dimasukkan air mawar.
KHAIRIZA mengurut pelanggan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Sejak zaman-berzaman, amalan bertangas dilakukan wanita bukan hanya selepas bersalin malah diamalkan secara rutin untuk mengekalkan kesihatan dan kesegaran tubuh badan terutama bagi mereka yang sudah berkahwin.

Namun, arus kemodenan semakin menenggelamkan amalan ini, apatah lagi wanita moden zaman ini yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman yang membawa kesejahteraan rumah tangga dan kesihatan serta kebersihan diri.

Malah jika ditanya pada sebahagian wanita muda ketika ini, mungkin tidak ramai yang tahu atau menyedari kelebihan amalan yang diwarisi nenek moyang sejak berabad lalu.

Jika kena caranya, bagi yang sudah berumah tangga dan melahirkan anak mampu mengembalikan organ intim seperti ‘anak dara’.

Tangas juga adalah amalan penjagaan kesihatan keseluruhan tubuh badan dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan bahagian sulit semata-mata.

Malah, amalan ini dapat membantu wanita mengatasi masalah keletihan, berat badan berlebihan, mengecutkan urat badan dan membuang angin dalam badan kerana bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar daripada badan.

Bagi ibu bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan dan kemutan faraj dan rahim.

Menurut pemilik spa tradisional Jalapa De Beauty, Zaini Amnah Adnan, 56, ramai menganggap bertangas hanya dilakukan ketika berpantang atau untuk mereka yang sudah berkahwin saja, namun sebenarnya amalan ini sesuai untuk semua wanita sama ada yang belum atau sudah berkahwin.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam perbidanan, Zaini berkata, setiap jenis tangas mempunyai kelebihan berbeza, misalnya tangas basah dilakukan ketika berpantang selepas bersalin manakala tangas kering bagi wanita selepas nifas atau selepas datang bulan.

“Tangas wangi pula dilakukan khusus untuk mengharumkan keseluruhan badan serta kecantikan dalaman kerana kita menggunakan pelbagai jenis bungaan seperti mawar dan melur serta daun pandan, limau purut dan air mawar.

“Tangas wangi ini sesuai untuk semua golongan wanita. Namun bagi wanita yang sudah selesai tempoh berpantang, ia amat digalakkan bagi menyegarkan badan yang keletihan selepas bersalin, sekali gus memberi keyakinan untuk kembali bekerja,” katanya.

Menyingkap pengalamannya dalam perbidanan, selain menguruskan spa yang terletak di Puchong Utama, Selangor, dia turut menjadi tenaga pengajar jemputan di Universiti Teknologi Malaysia Jalan Semarak dalam rawatan ibu selepas bersalin sejak 2006 hingga kini.

Dia yang juga Mentor Kelab Usahawan Selangor (KUSEL) sebelum ini berpengalaman lebih 20 tahun mengurut selepas bersalin dari rumah ke rumah sebelum membuka spa sendiri sejak tahun lalu.

Apa yang menarik, pakej rawatan tradisional yang disediakan di spanya serba lengkap termasuk urutan tradisional, urutan selepas bersalin, semasa berpantang dan selepas berpantang.

Di samping itu, katanya, semua bahan yang digunakan adalah semula jadi dan bebas daripada bahan kimia kerana mahu mengelakkan kesan sampingan terhadap pelanggan.

Bagi memastikan kualiti sentiasa terjaga, Zaini yang dibantu Khairiza Khairudin, 37, yang juga tukang urut berpengalaman memberi rawatan kepada pelanggan mengikut temu janji yang ditetapkan.

“Agak sukar menemui pembantu yang benar-benar mahir dan berpengetahuan dalam urutan tradisional, namun Khairiza menepati semua ciri yang ada sebagai tukang urut profesional.

“Sebab itu pada satu-satu masa kami tidak mengambil ramai pelanggan bagi menjaga kualiti dan rata-rata pelanggan kami adalah pelanggan tetap terdiri daripada berbilang bangsa.

“Kini, ilmu yang saya ada diturunkan pula kepada anak tunggal (Nor Sazeela Samaae, 28). Bagi memastikan tradisi nenek moyang ini terus dipertahankan, saya turut menyediakan kursus urutan selepas bersalin dan penjagaan ibu berpantang bagi mereka yang berminat,” katanya.

Berkongsi ramuan yang digunakan untuk bertangas, wanita kelahiran Tambun, Perak ini berkata, bertangas basah menggunakan ramuan rempah-ratus dan herba antaranya serai wangi, lengundi serta daun pandan, limau purut, lengkuas, sirih dan inai.

Tangas kering menggunakan campuran halia, lengkuas, ibu kunyit, manjakani, limau purut, daun sirih dan jintan hitam.

Bertangas dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain daripada paras leher ke paras lantai agar wap tangas menyeluruh kena pada badan.

Selepas dibiarkan beberapa minit, wanita yang menjalani rawatan bertangas akan duduk di atas kerusi khas dengan wap air rebusan campuran herba mengenai bahagian sulit mereka.

Proses rawatan ini biasanya dilakukan dalam masa 20 hingga 30 minit mengikut kehendak individu dan elok dilakukan sebulan sekali.

Campuran herba berkenaan dipercayai mengandungi banyak khasiat dan kelebihan tersendiri contohnya buah manjakani yang boleh mengetatkan faraj manakala daun sirih untuk menyembuhkan luka kecil.

Jalapa De Beauty beralamat di No 56A, Tingkat 1 Jalan PU 7/3, Taman Puchong Utama, Selangor beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:05 AM