Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Semakin yakin. Itulah luahan Tan Chun Seang (gambar) selepas mara ke fnal Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur 2015 apabila menundukkan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Iskandar Zulkarnain Zainuddin pada separuh akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Chun Seang yang diletakkan sebagai pilihan ketiga hanya mengambil masa 27 minit menamatkan pencabarnya 21-11, 21-12 seterusnya berada di landasan terbaik meraih kejuaraan tempatan buat kali pertama.

“Saya memang bersedia bertemu Iskanda kerana sebelum ini dalam saingan Purple League saya mendahuluinya tetapi tewas.

“Kali ini situasi hampir sama dan saya tidak memberi peluang kepadanya bangkit semula,” katanya.

Menanti Chun Seang di final seorang lagi pemain BAM yang mewakili Melaka, Goh Soon Huat selepas dia mengejutkan Liew Daren (Kuala Lumpur) 15-21, 21-18, 21-15.

Sementara itu, perseorangan wanita pula menyaksikan Goh Jin Wei mara ke final apabila mengalahkan Lee Ying Ying 21-16, 21-17 dan akan bertemu Lim Yin Fun yang sebelum itu menundukkan Lee Zii Yii 21-9, 15-21, 21-12.

Dalam acara beregu campuran, gandingan senior, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ke saingan akhir apabila mengalahkan pilihan ketiga, Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Soong Fie Cho 21-19, 21-13.

Mereka akan bertemu pilihan pertama, Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan yang mendapat kemenangan percuma selepas Mohd Razif Latif-Sannatasah Saniru menarik diri.

Turut mara ke final pasangan beregu lelaki negara, Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi yang mengalahkan pilihan pertama, Jagdish Singh Dhanoa-Roni Tan Wee Long 21-10, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:17 AM