ALI Khamenei

Washington: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan menghantar surat rahsia kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai reaksi kepada surat diterimanya dari Rumah Putih.

Wall Street Journal semalam melaporkan, surat Khamenei itu disiapkan dengan tetap menghormati Obama, tetapi tidak menjanjikan sebarang komitmen bagi menyelesaikan isu nuklear Teheran.

Memetik seorang diplomat Iran, akhbar itu melaporkan, surat itu dihantar kepada Obama baru-baru ini.

Sebelum ini, Obama menghantar surat kepada Khamenei untuk membayangkan kerjasama Washington - Teheran bagi memerangi kumpulan militan Negara Islam.

Kerjasama itu boleh direalisasikan jika kedua-dua negara bersetuju dalam isu nuklear Iran.

Beberapa hari lalu Khamenei menyatakan dia boleh bertolak-ansur dalam rundingan isu nuklear Iran serta menyokong Presiden Hassan Rouhani mengadakan dialog bersama Barat.

Dasar itu sebelum ini ditentang kumpulan konservatif Iran.

Teheran berunding dengan AS, Russia, China, Britain, Perancis dan Jerman bagi mencari penyelesaian isu nuklear Iran.

Teheran mendakwa program itu dibuat demi keamanan, namun Barat sangsi dan menuduh Iran membangunkan sistem persenjataan.

Perunding kedua-dua pihak menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh akhir perjanjian itu dipersetujui.

Namun seperti biasa, Israel tidak akan pernah bersetuju dengan perkembangan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:10 AM