Ibarat rumah sudah siap, pahat masih lagi berbunyi. Begitulah situasi berlaku sebaik saja program realiti Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014) tamat 6 Februari lalu dengan kumpulan Zero dipilih sebagai juara.

Cuma ada cerita tidak sedap yang Cik Pang dengar sebaik rancangan itu selesai membabitkan naib juara MLM2014 kumpulan Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib.

Menurut cerita orang keliling dalam produksi MLM2014, sebaik Zero diumumkan pemenang, Jep mengamuk di belakang pentas dan meluahkan rasa tidak puas hati.

Melihat situasi itu, semua orang yang berada di belakang pentas terkejut. Mereka turut mendengar yang Jep mengeluarkan kata-kata makian dan mengugut akan mendapatkan orang yang bertanggungjawab menjatuhkan Sepahtu hingga mereka tewas pada malam persaingan MLM2014.

Ada satu pihak lagi menyampaikan cerita kepada Cik Pang yang Jep benar-benar serius dengan dakwaan itu dan membawa perkara berkenaan ke pengetahuan pihak atasan Astro Warna.

Cuma apa yang menghairankan Cik Pang, bagaimana Jep mahu mencari orang yang didakwanya melakukan ilmu hitam terhadapnya sehingga mereka tidak dapat memberi fokus kepada pertandingan akhir MLM2014.

Jika benarlah mereka dapat tangkap orang yang membuat onar sedemikian rupa, bagaimana mereka mahu membuktikannya dan tindakan bagaimana mahu diambil.

Cik Pang juga tertanya-tanya adakah pihak penerbitan akan memandang serius aduan dibuat Jep dan membantunya mencari orang yang didakwanya melakukan ilmu hitam terhadap kumpulan Sepahtu.

Kata sumber itu lagi, kerana berasakan dirinya ‘dibomohkan’ sehingga menyebabkan mereka tewas, kumpulan itu mengambil keputusan untuk tidak lagi bertanding dalam program realiti pada musim hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:07 AM