Selepas memfailkan saman secara rasmi terhadap Kris dan Luhan melalui Mahkamah Shanghai kerana mempromosi secara tidak sah di China, agensi SM Entertainment sekali lagi memfailkan saman terhadap Luhan dan syarikat produksi filem berkaitan melalui mahkamah Hong Kong pada 10 Februari lalu.

Dalam kenyataan rasmi agensi, mereka memfailkan saman terhadap Luhan dan syarikat produksi kerana membenarkan Luhan membintangi filem mereka tanpa notis.

“Kami mengambil pendekatan undang-undang untuk melindungi hak dan keuntungan SM, EXO dan mangsa lain yang terkesan dengan promosi tidak sah selebriti yang melanggar kontrak.

“Sehingga keputusan rasmi mahkamah, kontrak antara SM, Kris (Wu Yi Fan) dan Luhan masih sah dan efektif. Bermakna segala aktiviti komersil, urusan menjadi jurucakap, penggambaran filem dan penampilan di bidang penyiaran tertakluk dalam kontrak dan perjanjian hak serta keuntungan SM dan EXO,” katanya.

Walaupun SM mempunyai hak eksklusif sebagai agensi mewakili Luhan dan pengurusannya di seluruh dunia termasuk Korea, China dan Hong Kong, Luhan melanggar kontrak dengan membintangi filem Hong Kong.

Oleh kerana syarikat produksi Hong Kong membiarkan Luhan membintangi filem mereka tanpa pengetahuan SM, mereka juga terbabit secara langsung dalam tanggung jawab perundangan.

Melalui syarikat guaman King & Wood Mallesons, pihak agensi secara rasmi memfailkan saman terhadap Luhan dan syarikat produksi Luhan di mahkamah Hong Kong.

SM merancang mengambil tindakan mahkamah terhadap mana-mana syarikat atau individu terlibat dengan promosi tidak sah sama ada di China, Hong Kong atau negara luar lain.

Perkembangan terbaru, SM Entertainment mendedahkan mereka dalam persiapan memfailkan saman terhadap Kris pula selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:05 AM