BENTUK aerodinamik.
METER kelajuan digital.
TEMPAT duduk berasingan.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) akhirnya mengumumkan berita gembira bagi peminat motosikal tempatan apabila akan memasarkan model terbaru Yamaha YZF-R25 pada awal April ini.

Sungguhpun harga masih dalam rundingan, HLYM menganggarkan ia akan dijual kira-kira RM20,000 seunit.

Bagi mereka yang mahu memiliki jentera dua roda itu, ia boleh dikatakan sangat berbaloi bagi motosikal keluarga R-Series yang tergolong dalam rangkaian model Yamaha YZF-R1.

Buat pasaran tempatan, ia ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu merah dan biru yang menggunakan enjin DiAsil dua silinder sebaris bersesaran 250 cc untuk menjanakan kuasa maksimum sehingga 36 hp pada 12,000 rpm.

Ia turut menggunakan omboh tempaan dan sistem suntikan bahan api induksi alir turun, selain digabungkan dengan reka bentuk badan ringan, pusat graviti yang sempurna bagi memberi kuasa serta nisbah berat terbaik dalam kelasnya.

Bagi kerangkanya pula, ia menggunakan material berlian yang kompak dan ringan diperbuat daripada tiub keluli untuk memberi imbangan kekuatan serta kestabilan optimum.

Memastikan pengendalian yang mantap di selekoh ketika kelajuan tinggi, Yamaha YZF-R25 yang dipasang sepenuhnya di negara ini (CKD) menggunakan lengan ayunan simetri dengan suspensi belakang tiub kembar Monocross.

Reka bentuknya seakan-akan seiras YZF-R1 terutama perumah lampu hadapan bersudut unik gaya 'Predator' yang agresif serta belakang menggunakan teknologi LED.

Ia juga ditawarkan dengan tempat duduknya antigelongsor serta menggunakan roda aluminium aloi yang dibaluti tayar lebar sekali gus menampilkan gaya sporty.

Sementara itu, Pengarah Urusan HLYM, CH Ng berkata, pihaknya menyasarkan jualan sehingga 300 unit sebulan bagi motosikal segmen 'sportbike' terbarunya menerusi Yamaha YZF-R25 itu.

Menurutnya, pihaknya yakin motosikal segmen jalanan akan mencatatkan peningkatan seperti jualan Yamaha FZ150 yang diperkenalkan pada tahun lalu, selain yakin bahawa Yamaha YZF-R25 akan memberi impak sama.

INFO

- Enjin: Sesaran 249 cc, dua silinder dan lapan injap DOHC.

- Kuasa maksimum: 36 hp pada 12,000 rpm.

- Tork maksimum: 30 Nm pada 10,000 rpm.

- Sistem penghidup enjin: Elektrik.

- Transmisi: Enam kelajuan jenis balikan.

- Berat: 166 kilogram.

- Kapasiti petrol: 14.3 liter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:04 AM