Oleh Dang Setia

Saya penuntut tahun dua jurusan kejuruteraan di sebuah universiti awam di ibu kota. Sebenarnya saya kurang berminat dengan jurusan ini dan pernah merancang menukar bidang lain. Malangnya permohonan ditolak kerana keputusan saya dalam bidang kejuruteraan memuaskan.

Saya pernah dipanggil kaunselor dan mendapat bimbingan mengenai bidang kecenderungan tetapi sesi itu masih berakhir dengan rasa kurang puas hati.

Saya memilih bidang itu atas permintaan orang tua. Ayah mempunyai latar bidang pengajian sama dan berharap saya akan turut mencontohinya.

Sebagai anak lelaki tunggal ayah berharap saya mengikut jejak langkahnya. Sebenarnya saya lebih sukakan jurusan undang-undang dan minat saya lebih ke arah bidang itu.

Saya serba salah dan pernah buat perangai seperti ponteng kelas tetapi berasa ia tidak berbaloi kerana boleh merosakkan reputasi sendiri. Bantulah saya Dang Setia, kadang-kala saya tertekan dengan situasi terbabit.

I-IMRAN

Subang Jaya, Selangor

Dang Setia memahami saudara tersepit antara impian sendiri dan harapan orang tua. Tidak dinafikan satu bebanan buat anak yang baik seperti saudara untuk mengabaikan harapan orang tua.

Pada Dang Setia, impian saudara masih satu keutamaan. Cuba berbincang dengan orang tua dan dapatkan perhatian mereka.

Namun sebelum mengambil keputusan menukar jurusan, buat sedikit kajian mengenai latar belakang bidang itu. Dang Setia bimbang, saudara berasa menyesal kerana jangkaan awal dalam bidang tugasan pengamal undang-undang mungkin tidak seperti disangkakan.

Benarkah saudara tidak menyukai jurusan berkenaan sedangkan saudara masih mencapai keputusan memuaskan di bidang kejuruteraan?

Atas sebab itu, sekali lagi dapatkan pendapat kaunselor serta turun sendiri untuk merasai pengalaman berada ruang lingkup bidang terbabit. Ada sesetengah perkara, kalau diasuh, hati akan menyukai meskipun pada mulanya bidang lain dilihat lebih menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 1:32 AM