Oleh Dang Setia

Saya pening kepala dengan masalah di rumah. Ibu tidak sekepala dengan isteri saya, malah baru-baru ini mereka bergaduh dengan teruk.

Saya faham isteri sering melakukan provokasi terhadap ibu, baru-baru ini. Puncanya sikap ibu saya sendiri sering mencabar kesabaran isteri dengan pelbagai sindiran. Acapkali ibu sengaja memberitahu isteri saya bukan calon menantu pilihannya.

Saya dan isteri pernah berpisah sementara kerana saya ditunangkan dengan gadis lain. Bagaimanapun, kami tidak serasi menyebabkan ibu akhirnya akur dengan gadis pilihan saya.

Saya serba salah dan pernah memujuk isteri untuk memahami situasi ibu. Saya faham kesabaran ada hadnya tapi untuk menegur ibu dan melukakan hatinya adalah perkara mustahil.

Pada pandangan Dang Setia, adakah satu kesalahan saya minta ibu beralah pada isteri?

MAT, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Realiti sebalik filem Ibu Mertuaku oleh seniman P Ramlee dalam kisah saudara sudah sering­kali terjadi. Asam garam rumah tangga, kalau hati sudah tidak berkenaan, tentu saja pelbagai ragam dilakukan ibu untuk menyakiti hati isteri.

Sebaiknya saudara menasihati ibu. Nasihati ibu tidak semestinya berniat untuk melukakan hatinya, sebaliknya bertujuan saudara ingin menjaga kerukunan rumah tangga saudara.

Mainkan peranan anak serta suami secara adil. Malah tingkatkan kemahiran memujuk saudara baik kepada ibu mahupun isteri agar setiap pihak berada mereka tidak diabaikan.

Dalam usaha lain, Dang Setia rasa, saudara boleh rancangkan pertemuan lebih santai di luar untuk perbincangan dari hati ke hati bagi mengendurkan ketegangan mereka.

Minta mereka buang yang keruh, ambil yang jernih, sekaligus membantu meredakan kerunsingan saudara tersepit di tengah-tengah perselisihan faham lama.

Jangan sekali-kali lupa memanjatkan doa, agar dibukakan hati ibu merestui rumah tangga saudara. Ingatkan ibu, restu cukup penting kebahagiaan hidup saudara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 1:30 AM