CHIK Omar (tengah) menunjukkan ruang khas dalam bagasi bagi menyembunyikan dadah.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menahan tiga suspek keldai dadah selain merampas 7.4 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM1.4 juta dalam tempoh dua minggu lalu.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, rampasan berkenaan termasuk kes terbaru awal pagi tadi membabitkan penahanan seorang wanita warga China berusia 27 tahun selepas pemeriksaan bagasinya berjaya menemui dadah jenis methamphetamine seberat 2.28 kg bernilai RM433,200.

Beliau berkata, wanita berkenaan ditahan kira-kira jam 1.50 pagi di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Siasatan mendapati, suspek menyembunyikan empat plastik berisi dadah dalam ruangan khas dalam bagasi yang di bawanya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak empat kes penyeludupan dadah berjaya ditumpaskan masing-masing pada 5, 10 dan 13 Oktober lalu termasuk kes terbaru awal pagi tadi.

Chik Omar berkata, setakat ini, pihaknya berjaya menahan 24 suspek selain merampas 336.6 kg dadah pelbagai jenis membabitkan nilai rampasan berjumlah RM54 juta sejak Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 1:59 PM