COSTA (kiri) digantung tiga perlawanan selepas mengasari Emre.

London: Penyerang Chelsea Diego Costa mendakwa corak permainannya memang keras, tetapi tidak sampai mendatangkan kecederaan serius kepada pemain lawan.

Pemain antarabangsa Sepanyol kelahiran Brazil berusia 26 tahun itu baru saja menamatkan hukuman penggantungan tiga perlawanan selepas mengasari pemain Liverpool Emre Can ketika separuh akhir Piala Liga bulan lalu.

“Terjahan saya memang keras, tetapi tidaklah melampau,” kata Costa. “Cuba rujuk rekod permainan saya, anda akan temui fakta yang mengatakan saya tidak pernah menyebabkan kecederaan serius kepada pemain lawan.”

Ketika Costa digantung, pengurus Manchester City Manuel Pellegrini pernah mengingatkan pemainnya supaya belajar daripada insiden berkenaan dan mereka perlu mengubah gaya permainan berbahaya seperti itu.

Costa yang sudah menjaringkan 17 gol liga, percaya kenyataan seperti itu sengaja dilakukan bagi menjatuhkan reputasinya.

“Saya anggap diri saya sebagai pemain yang kuat berjuang dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali beraksi. Mereka yang kenal saya, pasti faham apa yang saya katakan,” katanya.

“Bagaimanapun, ada kalanya tindakan saya di atas padang menimbulkan pelbagai provokasi yang melampau.”

Costa yang menyertai Chelsea daripada Atletico Madrid pada Julai tahun lalu berkata, dia juga sentiasa dikasari pemain lawan dan ada kalanya lebih kasar berbanding apa yang pernah dilakukannya.

“Ada antara terjahan saya terima di England dilayangkan kad merah di Sepanyol, tetapi di sini mereka terselamat,” katanya.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:20 AM