Dhaka: Pasukan penyelamat menemui dua mayat dan berusaha mencari lebih ramai lagi mangsa sebuah feri karam di sungai yang terletak 300 kilometer ke selatan bandar raya ini, semalam.

Kejadian feri karam yang kadang-kala meragut hingga ratusan nyawa adalah perkara biasa di Bangladesh.

Dalam kejadian semalam, feri terbabit dikatakan membawa kira-kira 200 penumpang.

“Kebanyakan mangsa berjaya berenang ke tebing,” kata Babul Akhter, pegawai di balai polis Barguna, berhampiran Sungai Paira, tempat kejadian.

Bagaimanapun, setakat ini, tidak dapat dipastikan jumlah mangsa yang belum ditemui.

Menurut Babul, sebuah kapal dalam pelayaran menuju ke sungai itu untuk membantu usaha menyelamat.

Kebanyakan mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri satu upacara keagamaan di Barguna selepas berlepas dari Kuakata, bandar tepi pantai yang terletak 30 kilometer dari kawasan itu.

“Menurut beberapa mangsa yang terselamat, feri berkenaan pecah sebelum karam kerana membawa penumpang berlebihan,” kata Babul.

Ogos lalu, seorang pemilik feri yang karam hingga meragut kira-kira 110 nyawa ditangkap. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:13 AM