REKAAN tudung bersengkuap daripada fabrik sifon menjadi tanda pengenalan jenama ini.
FABRIK lembut dan selesa sesuai dipakai dalam cuaca panas terik di Malaysia.
JUBAH menggunakan material sutera menjadikan busana cantik dipakai.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Jika dulu jubah hanya digayakan wanita berusia dan dikatakan hanya untuk menghadiri majlis keagamaan, tetapi kini busana ini menjadi pilihan wanita pelbagai usia. Ini kerana peredaran fesyen semasa menyebabkan rekaan jubah semakin berubah bukan saja menjadi lebih berseni, tetapi sesuai dipakai untuk pelbagai acara.

Penggunaan warna segar seperti merah, biru, hijau dan ungu menjadikan ia lebih diminati, begitu juga dengan potongan terkini yang dihasilkan menyebabkan busana ini kelihatan lebih moden dan eksklusif

Bagi Pengasas D Narz Eksklusif, Norasikien Zulkefli, bermula dengan pakaian yang diambil daripada pemborong, dia mula berhasrat menghasilkan rekaan sendiri selepas menerima maklum balas positif daripada pelanggan.

“Saya bermula dengan jenama daripada pengusaha lain sebelum beralih kepada jenama sendiri. Selepas mencari fabrik bersesuaian, saya menghasilkan rekaan dengan mengetengahkan tudung bersengkuap. Mengekalkan konsep mudah, menawan dan eksklusif, saya menggunakan fabrik sifon lembut kerana ia kelihatan lebih menawan apabila digayakan,” katanya yang mengeluarkan tudung Dewi Saffiya tiga lapis bagi memudahkan ia dipadankan dengan busana pilihan.

Setakat ini, Norasikien sudah menghasilkan 12 rekaan tudung yang semuanya mempunyai sengkuap serta selendang pelbagai warna dan corak.

Dia yang membuka butik pertama di Kluang, Johor pada 2007, mengakui untuk berada pada tahap sekarang bukan sesuatu yang mudah. Berbekalkan semangat serta pengalaman dalam perniagaan menyebabkan D Narz masih bertahan sehingga sekarang walaupun kehadiran butik bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Menurut Norasikien, dia sentiasa menjaga kualiti dari segi pemilihan fabrik bermutu. Untungnya kerana D Narz Eksklusif bermula dengan penjualan fabrik serta busana yang diambil daripada pemborong, jadi dari situ dia belajar mengenai material yang sesuai dengan cita rasa sekarang.

Selain tudung, jenama ini turut menyediakan koleksi baju kurung kapas serta jubah menggunakan fabrik lycra dan sutera satin. Memilih potongan puteri dan berbentuk A, ia sangat digemari pelanggan kerana menampakkan bentuk tubuh lebih langsing serta anggun digayakan. Setiap rekaan berdasarkan cita rasa sendiri serta mengambil kira kegemaran ramai.

“Untuk koleksi jubah platinum, ia dihasilkan begitu teliti dengan jahitan 100 peratus daripada tukang jahit tempatan. Menggunakan fabrik bermutu daripada sutera menjadikan helaian jubah tampil ringkas, namun menampakkan nilai kemewahannya,” katanya yang kini membuka cawangan kedua di Melaka.

Fabrik ini juga senang diurus kerana mudah dibasuh dan selesa apabila dipakai dalam keadaan cuaca panas terik di Malaysia. Selain menghasilkan rekaan baru pada setiap bulan, Norasikien turut membuka kelas jahitan dan bengkel jahitan tudung untuk wanita yang ingin mempelajarinya.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.dewisaffiya.com atau Facebook Dewi Saffiya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:07 AM