Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Meskipun masih baru menempa nama di persada industri hiburan tanah air, namun tuah dilihat menyebelahi penyanyi kacak, SonaOne.

Pada lembaran 2014 lalu saja, SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Lazoch berjaya melakar sejarah tersendiri dalam karier nyanyiannya.

Jejaka berusia 26 tahun itu menerusi single solonya, No More dinobatkan sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik Ke-21 (AIM21) yang berlangsung pada Disember tahun lalu.

Pada kemuncak AIM21 itu juga SonaOne turut merangkul kemenangan untuk anugerah Lagu Hip Hop Terbaik, Apa Khabar duet bersama Joe Flizzow dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Kecemerlangan diraih SonaOne berterusan apabila lagu Apa Khabar yang dinyanyikan bersama Joe dinobatkan sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) pada 18 Januari lalu.

SonaOne yang ditemui ketika rakaman program Muzik Muzik 30, baru-baru ini berkata, dia dijangka muncul dengan album sulung solonya pada April nanti.

“Saya sangat teruja menantikan album sulung dihasilkan menemui peminat di pasaran tidak lama lagi. Ditambah pula, album ini memang istimewa bagi saya.

“Lebih berkongsikan lagu-lagu dicipta menerusi pengalaman sendiri dan kenalan, album ini berkisar pada kisah kehidupan remaja,” katanya.

Memuatkan 13 lagu rentak hip hop terkini yang segar, SonaOne berkata, album itu memberi satu kepuasan kerana dia menghasilkannya sendiri.

Berbicara mengenai populariti dirinya yang dikatakan ‘menumpang’ Joe, pemuda kacukan Perancis-Melayu ini memaklumkan perkara itu tidak berlaku.

Katanya, dia sangat menghormati Joe kerana pengalaman penyanyi itu dan kerja kerasnya yang sudah berjaya mengangkat irama hip hop untuk diterima peminat muzik tempatan.

“Saya sangat berbesar hati dan gembira apabila bekerjasama dengan Joe menyanyikan lagu Apa Khabar. Bahkan, kami tidak sangka peminat menerimanya dengan baik.

“Malah, menjadi rezeki kami pula apabila Apa Khabar dinobatkan sebagai Juara Lagu. Apapun, saya memang tiada niat untuk menumpang nama Joe,” katanya.

SonaOne berkata, dia hanya berusaha memberikan kerjasama baik dengan Joe dalam merakamkan lagu Apa Khabar itu.

Katanya mereka bekerja secara profesional.

Berkongsi kisah perkembangan kariernya, SonaOne berkata, apa yang pasti dia gembira kerana kemunculannya diterima baik peminat dan mendapat sokongan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:02 AM