Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my


Seremban: Negeri Sembilan (NS) Matrix memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan UiTM FC, 2-0, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Skuad itu yang mendapat sokongan kira-kira 2,500 penyokong setia mula menguji benteng UiTM FC seawal minit kedua menerusi sepakan Francis Forkey Doe, tetapi sepakannya tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Azam Jais.

Tuan rumah dilihat menguasai saingan apabila melakukan asakan bertali arus ke kubu pelawat dan pada minit ke-23, Bruno Sebastian Martelotto hampir menjaringkan gol tetapi sepakan leretnya sedikit tersasar.

Seminit selepas itu, tandukan Kim Jin Ryong pula tidak menepati sasaran, namun anak buah K Devan terus berusaha apabila mencipta banyak peluang, tetapi gagal disempurnakan dengan baik.

Namun, usaha NS Matrix berhasil apabila Forkey Doe menyumbat gol sulung selepas menyepak kemas ketika pergelutan dalam kotak penalti pada minit ke-38.

Pelawat yang tersentak dengan jaringan itu cuba bangkit menerusi jentera serangan mereka diterajui Dao Bakary dengan Rastam Khan, tetapi kurang berkesan.

Sebaik aksi separuh masa kedua bersambung, UiTM FC yang dibimbing Azuan Zain cuba memperkemaskan jentera serangan mereka dan berjaya mencipta beberapa peluang, tetapi pertahanan skuad Hoben Jang Hoben berjaya mematahkan serangan mereka.

Kehebatan Forkey Doe begitu terserlah apabila menjaringkan gol kedua NS Matrix pada minit ke-80 selepas dia bijak melambungkan bola ketika Mohd Azam sudah berada di luar kawasan gol susulan kegagalan bahagian benteng mengawal serangan pemain tuan rumah.

UiTM FC cuba merapatkan jurang itu namun tiada percubaan tepat dapat dihasilkan daripada jentera serangan dan usaha mereka terus gagal sehingga tamat perlawanan dengan NS Matrix ceria meraih tiga mata untuk melakar kemenangan kedua-dua berturut-turut selepas sebelum ini menewaskan DRB Hicom FC pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 11:43 PM