PELAJAR lelaki mampu menyaingi wanita dalam jahitan dengan kepakaran yang mereka miliki.
LATIHAN kawad kaki dijalani semua pesalah juvana bertujuan membentuk disiplin dan jati diri.
PENGHUNI turut dilengkapkan dengan kemahiran komputer seiring keperluan teknologi semasa.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Tubuh kurus dan tinggi itu sedang melakukan aktiviti kawad, diketuai rakan sepenjara yang lebih berusia. Kusam dan kaku tetapi lebih banyak menonjolkan ciri-ciri ‘tidak bersalah’ sewaktu mata penulis mengamati wajah mereka.

Akibat kesalahan yang dilakukan, mereka terkurung dalam tirai besi

di Penjara Kajang.

Kira-kira 150 pesalah juvana sedang melakukan aktiviti kawad kaki pagi itu, program orientasi

selama 14 hari. Rata-

ratanya mereka penghuni baru Sekolah Integriti Kajang (SIK) yang masih ditahan reman dan hanya segelintir disabitkan kesalahan.

Bakinya berada di kelas, melakukan persediaan untuk menduduki

peperiksaan utama dan

di bengkel kemahiran.

SIK ditubuhkan pada 2008 dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi peluang kepada pesalah juvana menimba ilmu.

Mereka diajar subjek Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sejarah, Sains dan mata pelajaran tambahan sehingga bersedia menduduki peperiksaan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Meskipun tidak sebebas rakan di luar tembok batu, pesalah juvana tidak diketepikan untuk menimba ilmu, bahkan sistem pendidikan di sini berjaya membentuk penghuni SIK sehingga menjadi insan berguna.

Ada antara mereka mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan berpeluang melanjut­kan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Tempoh penahanan yang panjang turut membuatkan penghuni berkenaan nekad menyambung pelajaran kerana tidak mahu mensia-siakan peluang bagi mengubah kehidupan yang hitam sebelum ini.

Mereka sedar hanya melalui pendidikan, mereka boleh menjadi warganegara yang lebih baik dan

dihormati.

Di sini, mereka bukan saja dibekalkan dengan ilmu pendidikan dan bidang kemahiran, bahkan kelas pemulihan akhlak, kaunseling dan aspek kerohanian seperti solat berjemaah, qiamullail,

ceramah agama, kelas mengaji, nasyid, sukan serta program membina kendiri.

Ia mampu membangunkan sahsiah peribadi penghuni SIK, sekali gus memantapkan jiwa dan peribadi mereka untuk kembali menjadi manusia yang menghormati se­sama insan, keluarga dan

masyarakat.

Seiring dengan perkembangan sains dan teknologi serta perubahan silibus pembelajaran

di sekolah kerajaan, SIK bersedia

menangani peredaran teknologi menerusi penyediaan kelas komputer.

Menurut Koperal Raja Nazrolzaman Raja Ahmad, kelas komputer itu mula diperkenalkan pada 2008 bagi membolehkan penghuni SIK mahir meng­gunakan komputer serta mempelajari pelbagai perisian.

“Subjek seperti Corel Draw dan Adobe Photoshop membolehkan pelajar untuk melukis muka

depan majalah, muka depan cakera padat, kad nama, banner dan

bunting.

“Hasilnya sangat meng­galakkan kerana pelajar yang betul-betul berminat dapat melukis dan menghasilkan karya yang baik.

“Kolej Komuniti Hulu Langat turut pernah berkongsi ilmu dengan membawa tenaga pengajar dan peralatan sendiri.

“Ia membolehkan pelajar mahir melukis dan mencetak hasil lukisan di atas koleh dan rantai kunci,” katanya yang memantau kelas itu sejak penubuhannya tujuh tahun lalu.

Teruja untuk belajar

Ahmad (bukan nama sebenar), 20, yang mula menjadi penghuni SIK sejak tahun lalu menyesali perbuatannya sehingga menjerumuskannya ke penjara kerana melakukan samun bersama rakannya.

“Saya tidak mengambil SPM sebelum ini kerana sering ponteng kelas dan banyak menghabiskan masa dengan melepak dan berhibur bersama kawan-kawan.

“Saya lebih senang

di sini berbanding di luar kerana dapat menumpukan perhatian sepenuh­nya pada pelajaran.

“Lagipun, jadual sebagai pelajar SIK sentiasa penuh. Waktu pagi saya ke kelas, pada sebelah petang menjalani latihan kawad dan menelaah pelajaran pada waktu malam,”

katanya yang me­ngambil lapan subjek termasuk tasawur dan perdagangan.

Dia mahu membuktikan kepada keluarga dengan peluang yang diperolehnya itu, dia boleh berjaya sama ada dalam SPM atau pada masa akan datang seperti adik-beradik lain.

Meskipun Ahmad masih gagal menguasai pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains, itu tidak menghalang pemuda berkenaan belajar bersungguh-sungguh dan merealisasikan cita-citanya sebagai ahli perniagaan.

Bagi Muthu (bukan nama sebenar), 20, yang berasal dari Rawang, dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan pelajaran di SIK sejak menghuni pusat itu pada 2010.

“Saya berpeluang menduduki peperiksaan PMR di sini dan lulus dengan baik dalam subjek Sejarah. Ia membuatkan saya mahu meneruskan cita-cita untuk mendapatkan sijil SPM.

“Belajar di luar amat berbeza kerana saya berpeluang untuk ponteng kelas berbanding di sini yang diajar untuk berdisiplin dan sudah tentu tidak dapat lari ke mana-mana.

“Saya lebih fokus untuk mentelaah pelajaran selain dorongan cikgu yang sanggup mengajar berulang kali agar dapat membuatkan saya lebih faham.

“Jika berpeluang, saya mahu membuka kedai gunting rambut kerana berpengalaman dalam perniagaan itu,” katanya.

Tiada batas ilmu

Sementara itu, Penolong Penyelia Akademik SIK merangkap guru Matematik, Eliza Ranee Jeremiah berkata, bukan mudah melahirkan insan cemerlang dan gemilang, apatah lagi mereka memiliki pelbagai latar belakang jenayah membabitkan bunuh,

rogol, dadah, rompak dan samun.

“Guru-guru di sini perlu melipatgandakan usaha dan kesabaran untuk mendidik penghuni SIK yang mempunyai pelbagai latar belakang keluarga.

“Tidak semua yang masuk di sini adalah berpunca daripada mereka semata-mata. Justeru, guru tidak boleh bersikap menghukum tetapi

memberi mereka galakan untuk meneruskan pelajaran jika tidak mempunyai sijil.

“Pada 2013 lalu, keputusan SPM mencatatkan peningkatan apabila empat calonnya memperoleh 2A dan 3A. Keputusan itu membolehkan mereka meneruskan cita-cita untuk menggenggam diploma dan ijazah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 12:04 PM