PEMBINAAN MRT kini masuk fasa ‘kerja sistem’.

Kuala Lumpur: Pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer sudah mencapai kemajuan 58.5 peratus pada 31 Disember 2014 dan kadar itu akan dikekalkan apabila projek itu beralih ke fasa ‘kerja sistem’.

Ketua Pegawai Eksekutif baru Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, beliau akan memastikan momentum diteruskan mengikut jadual dan bajet.

“Saya gembira dengan kemajuan dicapai setakat ini. Apabila kami beralih kepada bahagian pembinaan sistem, saya akan memastikan kemajuan ini diteruskan,” katanya.

Shahril, yang mengambil alih jawatan itu pada 5 Januari lalu berkata, kerja bawah tanah termasuk pembinaan tujuh stesen bawah tanah dan terowong bagi bahagian bawah tanah sepanjang 9.5 kilometer Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang Line itu sudah siap 73.13 peratus, manakala bagi bahagian bertingkat, 49.2 peratus selesai.

“Fasa seterusnya kerja-kerja sistem termasuk memasang landasan kereta api bagi laluan itu, membeli dan mengoperasikan tren, menyediakan bekalan kuasa bagi tren, tanda isyarat, komunikasi dan lain-lain.

“Laluan Sungai Buloh-Kajang, yang terdiri daripada 31 stesen akan menyediakan kemudahan kepada 1.2 juta pengguna di sepanjang laluan itu. Ia dijangka beroperasi pada Julai 2017 manakala bahagian bertingkat dari Sungai Buloh ke Semantan dijangka beroperasi pada Disember 2016,” katanya.

Beliau berkata, Stesen Tun Razak Exchange (Stesen TRX), dengan kepanjangan 250 meter, kelebaran 41 meter dan kedalaman 45 meter, adalah yang paling dalam antara tujuh stesen bawah tanah Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.

“Stesen ini dibina khusus menjadi stesen pertukaran dengan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada masa depan yang juga laluan kedua MRT yang akan dibina,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 9:01 AM