Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS), komited untuk melahirkan 320 usahawan membabitkan sasaran pembiayaan sebanyak RM70 juta untuk disalurkan pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol berkata, jumlah itu yakin dicapai berdasarkan 295 usahawan yang berjaya dibantu tahun lalu dengan peruntukan RM60 juta.

Katanya, objektif utama PNS adalah untuk membantu mereka yang berminat menjalankan perniagaan terutama dalam perniagaan francais.

“Kami tidak fokus memberi pembiayaan semata-mata, tetapi lebih kepada memastikan usahawan yang dibantu berjaya dalam perniagaan masing-masing.

“PNS juga percaya perniagaan francais adalah bidang yang paling sesuai diceburi untuk mereka yang baru memulakan perniagaan kerana telah mempunyai standard operasi sedia ada,” katanya pada sidang media selepas sesi Tea Talk usahasama PNS dan Universiti Oxford di sini, semalam.

Hadir sama, Profesor Perniagaan Antarabangsa Universiti Oxford, Dr Lalit Johri dan Ketua Akademi PNS, Dr Suhaimi Sulaiman.

Sesi terbabit dihadiri150 peserta dengan topik yang diketengahkan mengenai dilema kepemimpinan masa kini yang semakin mencabar.

Syed Kamarulzaman berkata, PNS turut menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pembiayaan tidak berbayarnya (NPL) kepada 15 peratus tahun ini berbanding 19 peratus sekarang.

“Kegagalan pembayaran semula pembiayaan selalunya disebabkan pemilihan lokasi dan perniagaan yang kurang berjaya, malah ada perniagaan yang terjejas kerana bencana alam dan itu sebenarnya di luar kawalan peniaga serta PNS.

“Namun, PNS tidak akan berputus asa untuk membantu mereka yang ingin berniaga dan menerusi Akademi PNS, kami akan memberi ilmu pengetahuan dan latihan perniagaan kepada usahawan,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan Akademi PNS akan menyumbang pendapatan sebanyak RM2.5 juta kepada kumpulan berbanding RM1.5 juta tahun lalu.

Beliau berkata, Akademi PNS sentiasa menjalin usahasama dengan institusi yang dapat memberi ilmu dan membimbing usahawan mencapai kejayaan dalam perniagaan mereka sekali gus memberi inspirasi kepada usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 9:00 AM