Agensi

Manila: Tujuh belas hari berlalu, apa yang terjadi menjelang pertempuran berdarah antara komando polis Filipina dengan pejuang Islam di selatan negara itu masih kabur.

Dengan Ketua Polis Filipina masih digantung - sekali gus dianggap tidak mempunyai kuasa - dan penggantinya masih belum ada, perhatian tertumpu kepada persoalan siapakah yang menyelia penghantaran anggota keselamatan terbabit ke zon berbahaya memburu dua suspek pengganas.

Persoalan tidak kurang penting ialah, bagaimana komando Pasukan Tindakan Khas (SAF) terbabit memiliki akses mendapatkan senjata canggih ketika memburu Zulkifli Hir dan Abdul Basit Usman di wilayah dikuasai Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Mamasapano di wilayah Maguindanao.

Setiausaha Dalam Negara, Mar Roxas berkata, persoalan itu perlu diperhatikan jika dibenarkan memberi cadangan melakukan reformasi dalam pasukan keselamatan Filipina.

“Saya mahu tahu siapa bertanggungjawab untuk operasi itu,” katanya.

Kata Roxas, Komander SAF - yang kini dipecat, Getulio Napenas - memberi laporan kepada Ketua Polis Filipina, Alan Purisma mengenai misi ke Mamasapano itu.

Namun, katanya, ia berlaku sebelum Purisima digantung tugas pada Disember atas tuduhan rasuah.

Purisima pula - yang meletak jawatan minggu lalu - mengakui dia tidak lagi mempunyai kuasa selepas digantung tugas.

Justeru, kata Roxa, Purisima tidak boleh mengarahkan SAF bertindak atau menyelaraskan operasi dengan agensi keselamatan lain.

Dalam kejadian pada 25 Januari lalu, seramai 44 anggota SAF maut selepas menyertai operasi memburu Zulkifli - atau Marwan - di kawasan MILF.

Walaupun Marwan terbunuh, Usman dipercayai terselamat.

Manila segera menuduh MILF dan kumpulan serpihannya, Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

Kedua-dua pihak menafikan mereka membunuh anggota SAF.

Kata Roxas, walaupun SAF terlatih, pasukan itu tidak memiliki aset seperti pesawat udara, artileri dan mortar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:48 AM