Agensi

Nanjing: “Pintu ini tidak penting.” Itu ungkapan seorang penumpang apabila dia diminta menjelaskan perbuatannya membuka pintu kecemasan pesawat udara China Southern Airlines.

The Beijing News semalam melaporkan, lelaki warga tempatan itu dijangka menghabiskan cuti Tahun Baru Cina minggu depan di penjara.

Polis menahan lelaki terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing Lukou dan mendapat kebenaran reman selama 10 hari.

Menurut jurucakap China Southern Airlines, lelaki itu menaiki pesawat Boeing 737-800 berkenaan pada Isnin lalu.

Sebaik berada di dalam kapal terbang, katanya, lelaki yang dirahsiakan identitinya itu berjalan ke arah pintu kecemasan dan membukanya.

“Peliknya, dia tidak menjelaskan mengapa dia bertindak begitu, sebaliknya cuma berdiri di situ sambil merenung ke luar.

“Apabila ditegur, dia cuma menjawab: Pintu ini tidak penting,” katanya.

Ketika kejadian, beberapa pramugari sedang membantu penumpang lain menyimpan beg mereka dalam ruang bagasi.

Kekecohan itu turut menjejaskan jadual penerbangan.

Jurucakap China Southern Airlines berkata, penerbangan yang sepatutnya menuju ke Nanning di wilayah Guangxi itu tertangguh selama hampir sejam.

Disember lalu, kes seumpama itu pernah berlaku membabitkan seorang penumpang yang pertama kali menaiki kapal terbang.

Dia membuka pintu kecemasan pesawat udara Xiamen Air untuk “menghirup udara segar” sebelum pesawat berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:43 AM