Kuala Lumpur: Berjaya menguasai gelanggang menjadi kunci kemenangan pilihan pertama Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur Mohd Arif Latif yang menumpaskan Goh Giap Chin pada pusingan kedua semalam.

Arif yang mewakili Negeri Sembilan menang 23-21, 21-15 untuk mara ke pusingan ketiga hari ini.

“Permainan saya agak baik. Saya dapat mengawal pergerakan bulu tangkis di seluruh gelanggang,” katanya selepas perlawanan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.

Bekas pemain yang pernah berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu meletakkan sasaran mara ke perlawanan akhir kejohanan ini.

Turut mara pemain Kuala Lumpur Liew Daren yang menewaskan Mohd Ziyad Md Tahad (Selangor) 21-12, 21-14 manakala seorang lagi pemain kebangsaan Goh Soon Huat menundukkan Ramesh Nathan 21-9, 21-12.

Sementara itu, pilihan kedua kejohanan Zulfadli Zukiffli yang mewakili Putrajaya turut mara ke pusingan ketiga apabila mengalahkan Vincent Phuah Cheng Wei (Perak) 21-9, 21-16.

Pilihan ketiga Tan Chun Seang (Kedah) turut mara apabila mengalahkan pemain muda, Cheam June Wei 21-18, 21-17.

Pemain utama beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran kebangsaan akan turun beraksi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:29 AM