FABREGAS (dua dari kanan) kini tonggak tengah paling bermakna Chelsea.
AFP

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho pasti gembira selepas mendedahkan Cesc Fabregas akan kembali tampil buat kelabnya ketika menerima kunjungan Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi esok.

Bintang Sepanyol itu dikeluarkan ketika kemenangan Blues pada separuh akhir Piala Liga ke atas Liverpool kerana kecederaan hamstring dan terlepas aksi seri dengan Manchester City dan menang ke atas Aston Villa, Sabtu lalu.

Namun Mourinho mengesahkan Fabregas akan kembali mengemudi bahagian tengah pada pertembungan di Stamford Bridge tatkala Blues berusaha mengekalkan kelebihan tujuh mata di depan City di puncak liga.

“Saya fikir dia (Fabregas) akan bermain Rabu ini (awal pagi esok) kerana Sabtu lalu kami mahu menjaga tahap kecergasannya,” kata Mourinho.

“Kami tidak mahu membahayakan dua pemain pada satu masa. Kami berisiko dengan Willian dan memulakan dua pemain dengan risiko satu percaturan besar, sebab itu kami putuskan hanya menurunkan seorang pemain.”

Ketika ketiadaan Fabregas, Ramires dipilih di bahagian tengah di samping Nemanja Matic, selepas pemain itu sendiri kembali cergas sepenuhnya dan Mourinho mengakui beliau lega kembali dapat memiliki pemain berkualiti.

“Ramires pada tahap terbaik sudah kembali dan dia beraksi menentang Liverpool, Man City dan Aston Villa,” ujar Mourinho.

“Dia pemain berbeza (berbanding Fabregas), tapi dia seorang pemain menakjubkan buat kami.”

Mourinho turut memuji sumbangan hebat Branislav Ivanovic berikutan gol kemenangan menakjubkan ketika menundukkan Villa 2-1.

“Setiap penyerang di dunia pasti bangga menjaringkan gol mengagumkan sebegitu,” jelasnya.

“Bagi seorang pertahanan kanan dengan kaki kirinya bukanlah yang terbaik ia gol menakjubkan, terutama apabila ia gol kemenangan. Jika anda menjaringkan gol dan kedudukannya 3-0 atau 4-0 ia satu perkara berbeza.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 8:47 AM