Sepang: “Beri Guilherme (de Paula) (gambar kiri) masa.”

Itu permintaan pengendali Selangor Mehmet Durakovic kepada semua pihak yang menaruh harapan tinggi penyerang import dari Brazil itu mampu menjelmakan sentuhan penyudah seperti dilakukan Paulo Rangel musim lalu.

Katanya, penyerang utamanya itu bekerja keras sepanjang perlawanan di Terengganu untuk mencari gawang lawan pada Sabtu lalu dan sehubungan itu aksinya memuaskan hati.

Selangor kecundang 0-2 kepada skuad Penyu menerusi jaringan cantik Ismail Faruqi Ashari dan Gustavo Lopez dengan Merah Kuning terpaksa menelan kekalahan walaupun mencipta banyak peluang untuk menggegar jaring lawan.

“Berilah De Paula masa, bukan mudah bagi pemain asing meledak jaringan pada perlawanan pertama Liga Super. Dia perlu sesuaikan diri dengan rakan pasukan baru, sistem berbeza dan saingan liga berlainan.

“Saya sebagai jurulatih gembira dengan kerja keras dipamerkannya sepanjang perlawanan di Terengganu. Dia mendapat peluang hasil gerakan rakan sepasukan selain mencipta peluang untuk rakan lain. Saya yakin peluang untuknya meledak jaringan akan tiba selagi dia berusaha dengan keras,” kata Durakovic.

Selangor berdepan tugas lebih sukar Sabtu ini apabila menentang juara Piala FA dan Malaysia musim lalu, Pahang di Stadium Darul Makmur dengan Tok Gajah turut memburu tiga mata pertama selepas tewas aksi pembukaan menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Dua kemenangan Liga Super musim lalu ke atas Pahang sudah menjadi sejarah. Kami tidak mempunyai barisan pemain sama berbanding Pahang yang mengekalkan hampir keseluruhan pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 7:42 AM